Diketuai pemenang pingat emas 100m Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan, skuad yang turut dianggotai Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa dan Nixson Kennedy itu melepasi pusingan kelayakan dengan catatan masa 39.39 saat.

Berlari dalam saringan Kumpulan A, kuartet negara menamatkan persaingan di tempat kelima namun sudah cukup untuk muncul ketujuh terpantas keseluruhan daripada dua saringan.

Peraturan menetapkan tiga pasukan terbaik daripada setiap saringan layak secara automatik ke pusingan akhir, manakala dua tempat lagi adalah untuk kuartet yang mencatat masa ketujuh serta kelapan terpantas keseluruhan daripada dua kumpulan.

Dalam perlumbaan akhir esok, kuartet negara akan bersaing dengan England yang muncul terpantas hari ini dengan masa 38.15s, Jamaica (38.44s), Nigeria (38.52s) dan Afrika Selatan (38.71s).

Turut layak ke pusingan akhir adalah Australia (38.78s), Barbados (38.95s) dan Sri Lanka (39.47s).

Walaupun atlet negara gagal memperbaharui rekod kebangsaan 39.27s yang dicatatkan dalam Sukan SEA Ogos lalu, namun jurulatih acara pecut negara, Mohd. Poad Kasim tetap berbangga dengan prestasi anak-anak buahnya hari ini.

“Akhirnya sejarah tercipta di Gold Coast apabila mereka berjaya ke perlumbaan akhir, catatan masa juga bagus.

“Mereka ada peluang lagi untuk memberikan tentangan sengit kepada pasukan negara lain esok. Sasaran adalah memecahkan rekod kebangsaan,” katanya.

Perlumbaan akhir akan berlangsung di Stadium Carrara pada pukul 2.40 petang waktu Malaysia esok.