Zur’ain Kamarudin dan Noor Hedayah Md. Amin masing-masing meledak dua gol manakala tiga lagi jaringan skuad warga kota disempurnakan oleh Hannani Adriana, Intan Sarah Anisah dan Fasrina Amira.

Selepas melengkapkan 12 perlawanan, Kuala Lumpur mengungguli saingan menerusi 27 mata, hanya dua mata mengatasi Selangor manakala Perak di tempat ketiga dengan 15 mata.

Kemenangan membolehkan Kuala Lumpur membawa pulang RM50,000 dan hadiah disampaikan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

"Tahniah kepada Kuala Lumpur. Apa yang membanggakan, kedua-dua pasukan bukan sahaja mempamer aksi cemerlang dengan prestasi memberangsangkan malah semangat kesukanan yang tinggi.

"Saya yakin dan pasti dengan kualiti permainan yang ditampilkan oleh pasukan yang bertanding dalam saingan MPFL 2019 khususnya kategori wanita ini, ia akan dapat menarik minat lebih ramai golongan wanita untuk bergerak aktif dalam arena sukan ini.

"Malah bukan itu sahaja, jumlah penonton yang hadir juga agak memberangsangkan, sekali gus memberi petanda positif bahawa MPFL 2019 semakin dekat di hati peminat futsal tempatan.

“Justeru dengan sokongan padu penyokong dan kemeriahan saingan MPFL 2019 ini di harap akan dapat memartabatkan lagi sukan futsal tanah air,” kata Hamidin. - UTUSAN ONLINE

SENARAI PEMENANG

Juara: Kuala Lumpur

Naib Juara: Selangor

Tempat Ketiga: Perak

Pemain Terbaik: Intan Sarah Anisah Zulgafli (Kuala Lumpur)

Penjaring Terbanyak: Fatin Shahida Azmi (Selangor) - 11 gol