Kata Syed Saddiq, stadium berkenaan akan dibina di Presint 14, Putrajaya dengan keluasan 16 ekar dan kerja pembinaan dijadual bermula November 2019.

“Peruntukan ini akan merangkumi pembinaan dua (2) buah padang ragbi yang mengikut spesifikasi pertandingan dan latihan, lampu limpah berkuasa 1,200 lux, bilik persalinan serta beberapa kemudahan lain.

“KBS kini sedang dalam proses mengemukakan pindaan lokasi projek kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengenai pemindahan semula lokasi projek dari Kuala Lumpur Sport City (KLSC) ke Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menjelaskan bahawa KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah bersetuju untuk menempatkan pasukan ragbi wanita 7 kebangsaan sebelah ke tier 3 sekali gus membolehkan pemain menerima elaun, latihan serta beberapa kemudahan atlet sepenuh masa.

“KBS juga komited untuk melaksanakan program latihan intensif bagi persediaan pasukan ragbi wanita 7 sebelah kebangsaan ke Sukan SEA Manila 2019 dengan syarat semua pemain mendapat pelepasan sepenuh masa daripada majikan masing-masing.

“Menerusi inisiatif ini, ia telah membuktikan bahawa KBS sentiasa menyokong agenda pemerkasaan wanita khususnya di dalam bidang sukan yang mampu menarik minat mereka untuk melibatkan diri serta memainkan peranan ke arah pembangunan sukan tanah air,” kata Syed Saddiq. - UTUSAN ONLINE