Bagaimanapun, pengarah Program Podium, Tim O'Brien Newenham tidak mahu para atlet berasa tertekan kerana mereka sudah banyak mengalaminya semasa sesi latihan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas upacara menaikkan bendera dan menyambut kontinjen negara di Perkampungan Sukan di Griffith University, di sini hari ini.

"Bagi saya, atlet Malaysia sudah cukup bersedia melalui latihan pusat yang diadakan, dan disokong dengan penyediaan peralatan terbaik sebelum mereka beraksi pada sukan ini.

"Mereka perlu beri yang terbaik, kami sudah beri 100 peratus kepada mereka. Itulah apa yang kami harapkan daripada para atlet. Program Podium baru berusia dua tahun, kami mahu ikut KPI (Petunjuk Prestasi Utama).

Beliau menambah, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah meletakkan sasaran supaya Malaysia berada dalam kalangan 10 negara teratas dalam Sukan Komanwel 2018.

"Kami sedang mencari sesuatu daripada atlet handalan untuk menawan detik itu serta membawa kebanggan kepada rakyat Malaysia," tambah Newnham.

Sasaran itu diumumkan Khairy ketika Program Podium diwujudkan pada 2016 di mana Malaysia menyasarkan memenangi pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.

Selain Olimpik 2020, program itu juga menyasarkan Malaysia menduduki antara 10 tempat teratas dari segi pungutan pingat pada Sukan Asia 2018 di Indonesia dan Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast.

"Sekiranya kami dikenakan tekanan dan tekanan itu kami pindahkan pula kepada atlet, saya tidak fikir ia akan membantu mereka mencapai apa-apa, terutama pingat emas. Mereka sudah membuat cukup persiapan untuk melakukan yang terbaik.

"Secara terus terang, saya tidak berasa tertekan sekiranya kami tidak mencapai sasaran itu kerana kami sudah berikan 100 peratus dan kini tibalah masanya para atlet pula menunjukkan kemampuan mereka serta melakukan yang terbaik," katanya.

Sebanyak 178 atlet Malaysia akan menyertai sukan itu, yang bermula esok dan berakhir pada 15 April. - BERNAMA