Kontinjen negara menyasarkan 10 kelompok terbaik dengan sekurang-kurangnya tujuh pingat emas untuk menandingi pencapaian enam pingat emas pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland.

Setakat ini, Malaysia sudah kehilangan dua pingat emas tradisi menerusi acara badminton berpasukan campuran selepas skuad negara tewas 1-3 kepada India, manakala Datuk Nicol David gagal mempertahankan emas skuasy perseorangan wanita.

“Tidak (belum panik). Kita masih di pertengahan jalan dan saya pernah cakap sebelum ini bahawa ada dua pasukan iaitu England dan India (mampu memberi saingan) dan malam ini India telah atasi Malaysia. Ini tidak semestinya persembahan tidak memuaskan.

“Walaupun India menang malam ini, tapi kita masih ada lagi lima acara dan peluang untuk dapat dua atau tiga pingat dan harapan saya memang emas untuk badminton.

“Selain itu, kita masih ada peluang dalam acara terjun dan boling padang...begitu juga skuasy yang sedang berlangsung. Atlet negara akan cuba dapatkan pingat untuk kontinjen Malaysia,” katanya semalam.

Pada edisi di Glasgow, kontinjen negara menduduki tangga ke-12 dengan enam emas, tujuh perak dan enam pingat gangsa.

Setakat ini, skuad berbasikal negara telah menamatkan cabaran dan pulang dengan tangan kosong berbanding di Glasgow, dengan satu gangsa menerusi Mohd. Azizulhasni Awang dalam acara keirin. - BERNAMA