Kemenangan besar ini membolehkan skuad bimbingan Lee Nyuk Fah mengumpul 17 mata dalam kedudukan keseluruhan, termasuk satu mata bonus kerana beroleh lebih empat try dengan Amirul Sani muncul pencatat terbanyak (tiga).

Dua lagi try oleh Etonia Vaqa Saukuru selain masing-masing satu sumbangan Atunasia Lacadamu Takubu, Vatimio Rabebe dan Amirul Mukminim Amizan.

Malaysia turut mengutip mata menerusi dua conversion dan satu penalti menerusi Nik Mohd. Shahiddan Mohd. Zain dan tiga conversion oleh Sae Faalupega.

Pencabar terdekat Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di tangga kedua dengan 12 mata setelah terdahulu menewaskan Taiwan 16-12. Taiwan mengumpul tujuh mata manakala Thailand satu.

Pasukan negara memulakan kempen dengan cemerlang pada Rabu lalu dengan membenam Taiwan 46-13 namun berhempas pulas untuk menundukkan UAE, yang dibarisi sebilangan besar pemain import, 20-19.

Malaysia akan mengambil alih tempat Singapura tahun depan yang menduduki anak tangga corot Divisyen Satu yang turut mengan­dungi Sri Lanka, Filipina dan Kazakhstan.

“Laluan kita mudah dengan Thailand selepas menewaskan dua lawan yang memiliki ranking lebih tinggi. Kita main corak padat dan pemain membalas sokongan penonton yang hadir dengan kemenangan ini,” kata Nyuk Fah selepas perlawanan.