Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Prof Emiritus Datuk Ir Dr Kamarudin Hussin dan Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr R Badlishah Ahmad.

Turut hadir ialah ahli-ahli lembaga pengarah UniMAP serta wakil dari Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) sebagai tanda komitmen semua.

Menurut Kamarudin, hari ini merupakan detik 'countdown' 365 hari lagi untuk menuju ke hari Kejohanan Woodball Piala Dunia (WCWC) Perlis 2020’ yang bakal berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UniMAP dari 24 hingga 30 Julai tahun hadapan.

Detik countdown ini dikira sebagai persediaan rapi segenap peringkat di negeri ini bagi menyambut sekurang-kurangnya 23 buah negara yang bakal mengambil bahagian dan berentap dalam kejohanan WCWC2020 Perlis tersebut.

Kamarudin yang juga merupakan Presiden Persatuan Woodball Negeri Perlis menjelaskan bahawa ini adalah pertama kali Perlis melalui Persatuan Woodball Malaysia diberi kepercayaan oleh Persekutuan Woodball Antarabangsa dan Persekutuan Woodball Asia untuk menjadi tuan rumah kejohanan yang berperingkat dunia ini.

Selain Kejohanan Woodball Piala Dunia, turut bakal diadakan pada masa yang hampir sama ialah Kejohanan Woodball Terbuka Malaysia 2020 yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis di Arau bagi memeriahkan lagi penyertaan pasukan dari luar.

Beliau mensasarkan seramai 3,000 orang bakal mengunjungi Perlis dari dalam dan juga luar negara bersempena dengan kejohanan-kejohanan yang dianjurkan ini.

Untuk rekod, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Penaung DiRaja Persatuan Woodball Negeri Perlis amat komited dengan sukan woodball yang semakin meningkat naik dan semakin popular di negeri ini.