Anak muda kelahiran Kampung Berangan Enam, Umbai, Melaka itu berkata, dia kini menjalani latihan seperti biasa bersama jurulatihnya Mohd. Poad Md. Kassim di Johor Bahru.

Khairul Hafiz, 19, mengakui perlu berkerja keras bermula sekarang kerana ini merupakan penampilan sulungnya ke ketiga-tiga kejohanan besar itu iaitu Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Dunia 2018 di Birmingham, England pada 1 hingga 4 Mac 2018, Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia (4-15 April 2018) dan Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia (18 Ogos-2 September).

“Alhamdulillah kecederaan pada otot paha kanan yang saya alami ketika beraksi di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) baru-baru ini telah pulih sepenuhnya dan saya berterima kasih kepada Insitut Sukan Negara (ISN), Majlis sukan Negara dan jurulatih kerana banyak membantu dan memberi semangat kepada saya untuk pulih,” katanya.

Pelumba tersebut ditemui semalam pada Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan Tahun 2017 di Pusat Sukan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (Utem), Durian Tunggal.

Khairul Hafiz yang juga pemenang pingat emas acara 100 meter lelaki KL2017 itu berkata, dia berazam untuk melakukan persembahan yang terbaik pada ketiga-tiga kejohanan tersebut.

“Jika tidak dapat menyumbang pingat, harapan saya adalah sekurang-kuranganya untuk memperbaiki rekod peribadi terbaik iaitu 10.38 saat pada KL2017 dan 10.18 saat pada Sukan Malaysia (Sukma), Sarawak pada 2016,” katanya.

Dia berkata, Kejohanan Olahraga Dunia, Sukan Komanwel dan Asia penting baginya kerana ia adalah peluang bagi menunjukkan kepada dunia bahawa atlet dari Malaysia juga boleh menjadi pencabar mereka.

“Saya percaya bahawa ramai atlet terbaik dunia akan menyertai ketiga-tiga kejohanan itu namun ia tidak melemahkan semangat saya untuk cuba melakukan persembahan yang terbaik buat negara nanti,” katanya.

Beliau dijadualkan menjalani latihan selama sebulan di Jerman bermula Februari 2018 dan selepas itu akan terus ke Birmingham, England untuk beraksi dalam kejohanan dunia pada Mac.

Sebagai rekod pada temasya KL2017, KhairulHafiz menamatkan penantian 14 tahun Malaysia untuk meraih pingat emas acara 100 meter lelaki apabila menewaskan juara bertahan, Eric Cray dari Filipina dengan catatan masa 10.38 saat, selepas kali terakhir dimenangi Nazmizan Muhammad pada Sukan SEA 2003 di Vietnam.

Jaguh pecutnegara itu juga berjaya mempersembahkan aksi luar biasa apabila berjayamencatat kepantasan 10.18 saat pada Sukma Sarawak 2016 dan memecah rekod kebangsaan 10.30 saat milik Watson Nyambek 18 tahun lalu. – BERNAMA