Keris Conlay sebelum ini pernah merangkul kejuaraan pada 2013, 2015 dan 2017 bagaimanapun dipaksa bangkit daripada ketinggalan sebelum menundukkan Mersing.

Mereka sebelum itu tersentak seawal minit kedua apabila lawan mendahului menerusi try Joshua Barak Kiniviliametuidriva, sebelum Razui Mohd. Rozan menambah mata Mersing menerusi conversion untuk kedudukan 7-0.

Ketinggalan di awal permainan tidak menghalang Keris Conlay bangkit menyamakan kedudukan selepas Amirul Mukminin Amizan menghasilkan try pada minit ke-24 dan Fairuz Ab Rahman menyempurnakan conversion.

Empat minit selepas itu Keris Conlay kembali menguasai perlawanan apabila Fairuz menambah tekanan lawan menerusi penalti try dengan kedudukan selesa mendahului perlawanan, 10-7.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Keris Conlay menggandakan mata menerusi larian deras Estonia Muakatoga yang menghasilkan try pada minit ke-36 dan Fairuz sekali lagi cemerlang menyempurnakan conversion selang seminit, sekali gus meletakkan pasukannya selesa mendahului 17-7.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi lebih bertenaga dan sengit sehingga Fairuz yang dinobatkan pemain terbaik memecah kebuntuan pasukan dengan penalti try pada minit ke-62 menjadikan kedudukan 20-7.

Mersing Eagles yang ketinggalan jauh tidak berputus asa apabila hampir merapatkan jurang mata menerusi larian deras pemain import, Waqaliva Jone Vucukula yang menghasilkan try pada minit ke-64.

Kemudian larian deras Muhammad Haikal Ibrahim berjaya menghasilkan try pada minit ke-68 di tambah dengan conversion yang disempurnakan Razui selang beberapa saat kemudian menjadikan kedudukan 19-20.

Berbaki 12 minit perlawanan bagaimanapun memihak kepada Keris Conlay apabila dihadiahkan penalti try ekoran kesalahan lawan yang melakukan kekasaran pada minit ke-80. Keris Conlay menang 27-19.

“Syukur dan tahniah kepada pasukan dapat mengekalkan kejuaraan. Lima minit sebelum tamat perlawanan, pemain utama saya ada yang cedera jadi keadaan itu membimbangkan terutamanya di bahagian pertahanan.

“Namun pasukan berjaya menguasai permainan walaupun ada beberapa pemain utama cedera. Penalti trai terakhir itu bukanlah tuah untuk pasukan tetapi taktikal, kami mahu beri tekanan kepada mereka, apabila ada peluang dan pihak lawan melakukan kesilapan dengan melakukan kekerasan kepada pemain kami jadi pasukan layak mendapatkan penalti trai terakhir itu,” kata jurulatih Keris Conlay, Mohd. Farid Syazwan Abu Bakar. - BERNAMA