Datuk Nicol David mengetuai kemaraan pemain wanita bersama dengan S. Sivasangari dan Aifa Azman manakala Nafiizwan Adnan mengetuai kemaraan pemain lelaki bersama Ivan Yuen sahaja.

Ini selepas seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow hanya tidak bernasib baik apabila tewas tipis 11-13, 11-6, 11-8, 9-11, 10-12 kepada pemain Australia, Rex Hendrik dalam perlawanan lima set yang sengit dalam pusingan pertama.

Nicol, 35, yang mendapat bye di pusingan pertama mudah menjinakkan pemain Malta, Colette Sultana dengan permainan terus di pusingan kedua. Beliau dijadual menentang pemain Kanada, Samantha Cornet esok.

Sivasangari pula mara selepas menundukkan pemain Scotland, Alison Thomson di pusingan kedua dengan 11-7, 11-13, 11-8, 11-8. Pemain berusia 19 tahun itu akan menentang pemain pilihan, Joelle King dari New Zealand esok.

Pemain termuda dalam skuad skuasy Sukan Komanwel kali ini, Aifa Azman, 16, tidak ketinggalan untuk mara selepas menang percuma ke atas pemain Scotland, Lisa Aitken di pusingan kedua. Aifa akan menentang pemain Wales, Tesni Evans di pusingan ketiga.

Dalam kategori perseorangan lelaki, Nafiizwan yang mendapat bye di pusingan pertama, tidak menghadapi masalah menewaskan pemain New Zealand, Evan Williams di pusingan kedua hari ini untuk menempah pertemuan dengan pemain Australia, Ryan Cuskelly esok.

Ivan pula muncul pemain terakhir negara berjaya meneruskan kemaraan hari ini dengan menundukkan pemain India, Harinder Pal Sandhu 11-8, 11-6, 11-1.

Terdahulu di pusingan pertama, Ivan menewaskan pemain Trinidad & Tobago, Mandela Patrick 11-4, 11-2, 11-6. Lawannya di pusingan ketiga esok adalah pemain New Zealand, Paul Coll.

Tahun

Usia pemain termuda dalam skuad skuasy Sukan Komanwel kali ini, Aifa Azman.