Ketua Jurulatih Olahraga, Mohd Manshahar Abd Jalil berkata selepas kejohanan ini, beliau yakin bilangan atlet yang akan menyertai kontinjen negara dalam kategori A akan dapat dimuktamadkan, selepas hanya 15 atlet yang disenaraikan buat masa ini.

Katanya, 15 atlet yang telah tersenarai dalam kategori A adalah mereka yang pernah meraih pingat emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, terdiri daripada 12 lelaki dan tiga atlet wanita.

“Antaranya atlet baling tukul besi lelaki dan wanita Jackie Wong dan Grace Wong, dan Muhammad Hakimi Ismail (Lompat Kijang) serta beberapa orang atlet yang pernah menang emas dulu.

“Selepas kejohanan ini, kita menjangkakan jumlah sebenar atlet olahraga antara 25 hingga 30 orang yang akan mewakili negara ke Sukan SEA 2019. Segala perancangan telah mengikut masa yang ditetapkan dan atlet juga telah bersedia untuk bersaing di peringkat pemilihan terakhir minggu ini,” katanya dalam sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Manshahar berkata beliau yakin jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan mampu memperbaiki prestasinya dan melakukan catatan masa melebihi 10.30s sekali gus memberi saingan untuk merebut tempat dalam acara 100m.

Beliau berkata buat masa ini, hanya Johnathan Nyepa yang berada pada kedudukan terbaik dengan catatan 10.37s, iaitu ketiga terbaik di Asia Tenggara.

“Kedudukan Khairul Hafiz masih belum selamat. Namun dia yang baru pulih dari kecederaan telah menunjukkan peningkatan selepas mencatat kepantasan 10.70s di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Napoli, berjaya perbaiki sedikit catatan dengan 10.50s pada kejohanan keduanya tahun ini di Kejohanan Olahraga Terbuka Kuala Lumpur ke-32 awal Ogos lalu.

“Bagi atlet yang ingin melayakkan diri ke Sukan SEA 2019, mereka perlu berada sekurang-kurangnya di ranking ketiga iaitu ranking terkini Asia Tenggara. Sekiranya Khairul Hafiz berjaya atasi, maka dia akan jadi pilihan pertama,” katanya.

Khairul Hafiz pernah meraih emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dengan catatan 10.38s.

Sementara itu, bagi atlet wanita pula, ketua jurulatih itu berkata ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli perlu berusaha lebih keras untuk melayakkan diri ke Sukan SEA tahun ini ekoran kemunculan dua pelari pecut wanita Filipina yang mempunyai catatan jauh lebih baik berbanding Zaidatul Husniah.

“Atlet wanita kita agak jauh ketinggalan. Kita kena realistik kerana terdapat dua atlet Filipina yang sangat kuat ketika ini, tiba-tiba muncul dengan kepantasan larian masing-masing 10.41s dan 10.42s sedangkan Zaidatul hanya 10.65s yang masih lagi di ranking keenam peringkat Asia Tenggara.

Katanya, walaupun Zaidatul Husniah sedang menjalani latihan di Amerika Syarikat, namun catatan masanya masih belum mencapai tahap yang dirasakan layak dan berkemungkinan akan diletakkan dalam kategori B bagi membolehkan dirinya bersaing di peringkat Asia Tenggara.

Sebagai rekod, pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad olahraga meraih lapan pingat emas. - BERNAMA