Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tiga prospek tersebut adalah menerusi Tekken 7, Starcraft dan DOTA 2 memandangkan Malaysia memiliki pemain e-sukan yang bertaraf dunia.

Tambahnya, KBS akan memanggil semua pemain terbabit dalam usaha menghadirkan emas sulung menerusi e-sukan dalam temasya dwi tahunan itu.

“Kami akan panggil mereka (pemain e-sukan baik dalam dan luar negara). Sebab ini pertama kali (ia dipertandingkan dalam Sukan SEA), saya yakin mereka sudi berkhidmat.

“Kita nak tonjolkan bahawa mereka ini pergi demi negara, sekali gus melonjakkan industri e-sukan di Malaysia secara keseluruhan di mana rakyat di negara kita tidak hanya melihat e-sukan dari sudut agak negatif tetapi mereka juga atlet negara yang perlu diangkat dan diberi peluang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain e-sukan, Muhamad Luqman Haziq Hajiman ke kejohanan kelayakan e-Piala Dunia FIFA di Singapura pada Mac ini.

Selain DOTA 2, Starcraft dan Tekken 7, tiga lagi e-sukan yang dipertandingkan di Manila adalah Arena of Valor (AoV), Mobile Legends dan NBA 2019.

Mengulas berhubung ketiadaan e-sukan FIFA di Manila, Syed Saddiq bagaimanapun berkata, permainan video tersebut wajib dipertandingkan pada Sukan SEA seterusnya.

“FIFA adalah permainan video yang popular di seluruh dunia. Mungkin di Manila tidak dipertandingkan tetapi di Sukan SEA akan datang, ia wajib dimasukkan, yang mana ia bukanlah sebagai sukan demo, tetapi sebagai sukan yang menawarkan pingat,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE