Ketua kerajaan, peminat, rakan sepasukan dan bekas lawan meluahkan rasa terkejut dan sedih atas pemergian pemain sayap legenda All Blacks itu yang kepantasan dan kekuatan­nya menjadikan dia nama paling terkenal dalam permainan ragbi.

Perdana Menteri New Zealand, John Key berkata: “ingatan seluruh negara bersama keluarganya.”
“Dia benar-benar dan telah menjadi legenda dalam sukan,” kata Key di Manila di mana dia menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik.

Berucap di Parlimen New Zealand, Menteri Sukan, Jonathan Coleman meru­juk kepada permulaan Lomu yang sederhana dalam keluarga kelas pekerja di pinggir bandar selatan Auckland.
“Jonah membuktikan anda boleh da­tang dari mana-mana sahaja di New Zealand dan berjaya ke kemuncak,” kata Coleman.

Lomu hanya kembali ke New Zealand dengan keluarganya kelmarin selepas menghabiskan masa hampir dua bulan di Eropah untuk menyaksikan Piala Dunia, di mana dia kerap dikerumuni oleh peminat.
Isterinya Nadene yang juga pengurus­nya, mengesahkan kematian Lomu dalam satu kenyataan semalam.

“Dengan amat sedih saya mesti me­ngumumkan bahawa suami tersayang saya, Jonah Lomu telah meninggal dunia malam tadi,” katanya.
“Ini satu kehilangan yang memeritkan keluarga kami dan saya memohon kami diberikan ruang untuk bersendirian, terutamanya bagi dua anak lelaki kecil kami, dihormati apabila kami melalui detik yang menyedihkan ini,” katanya.

John Mayhew, bekas doktor pasukan All Blacks yang merupakan rakan rapat Lomu dan membantunya ketika perjuang­an hampir 20 tahun menentang penyakit buah pinggang yang jarang berlaku, sindrom nephritic, berkata kematian itu “benar-benar tidak diduga.”

Katanya, punca kematian ialah jantung terhenti.
Lomu didapati berkeadaan sihat ketika Piala Dunia, malah pada satu ketika memimpin peminat melakukan tarian haka yang bersemangat.

“Saya melihatnya semasa Piala Dunia dan dia tampak begitu sihat. Itu memang satu kejutan yang besar,” kata Graham Henry yang melatih All Blacks menjuarai Piala Dunia 2011.
Lomu didiagnosis dengan masalah buah pinggang pada 1995 dan bersara da­ripada ragbi antarabangsa pada 2002.

Dia menjalani pembedahan pemindahan satu buah pinggang pada 2004 dan cuba memulakan semula kariernya de­ngan menentang nasihat doktor, bermain di Wales dan Perancis sebelum akhirnya bersara pada 2006.
Dia mengalami serangan kejutan pada 2011 apabila badannya menolak buah pinggang penderma dan menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu ketika menanti pemindahan kedua.

Lomu terus popular walaupun selepas lama bersara dan disanjungi walaupun di negara yang ragbi kurang dikenali.
Dia terus menjelajah dunia sebagai duta sukan itu dan mungkin yang paling dicari di England, di mana pencapaiannya sebagai pemain sayap yang lasak merempuh pemain lawan telah menjadikannya seorang tokoh legenda.

“Saya amat, amat sedih apabila mendengar pemergian Jonah Lomu. Bintang terhebat dan memang seorang manusia yang menakjubkan. Amat menye­dihkan,” kata bekas flyhalf England, Jonny Wilkinson.
Bintang All Blacks, Sonny Bill Williams berkata, Lomu telah menjadi inspirasi untuk generasi pemain kepulauan Pasifik.
“Bagi saya, Jonah jelmaan semangat orang pulau. Anda boleh mengatakan dialah bintang ragbi tulen untuk seluruh dunia,” kata Williams.

Bekas kapten All Blacks, Tana Umaga berkata Lomu “secara bersendirian meletakkan ragbi kembali ke dalam peta.”
“Kami perlu memastikan kami memahaminya dan menghormatinya. Anda boleh pergi ke mana sahaja dan walaupun All Blacks besar, seorang pemain yang mereka bualkan ialah Jonah Lomu,” kata Umaga.
Kematian Lomu benar-benar dirasai semalam di bekas sekolah tingginya, Kolej Wesley, sebuah sekolah berasrama penuh Polynesia di Auckland di mana dia mula bermain ragbi.

Pada pertengahan usia remajanya, Lomu seberat 120 kilogram dan berlari 100 meter dalam 10.89 saat tetapi dia terpaksa dipujuk untuk bermain ragbi. Ramai yang bermain sukan itu di sekolah itu kini me­lakukannya kerana mencontohi Lomu. – AGENSI