Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019 dapat menyediakan platform terbaik kepada negeri itu untuk melahirkan lebih ramai atlet dan bakat-bakat muda.

"Karnival ini adalah simbolik kepada temasya berprestij itu kerana adalah menjadi impian setiap atlet untuk beraksi di pentas sukan Olimpik.

"23 Jun merupakan acara kemuncak iaitu acara penyalaan simbolik cahaya Olimpik di mana obor akan dibawa oleh bekas atlet-atlet olimpik negara dan atlet harapan negara. Ini merupakan acara 'countdown' bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Kon Yeow, penyertaan karnival itu dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia melalui tiga kategori umur iaitu di bawah 12 tahun, di bawah umur 18 tahun dan 18 tahun ke atas.

Jelasnya, sebanyak empat acara akan dipertandingkan iaitu badminton, bola tampar, sepak takraw dan tenpin boling. Warganegara yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian di laman sesawang http://event.howei.com bermula 7 Mac sehingga 30 April ini. - BERNAMA