Setiausaha Agung Persatuan Karate Malaysia (Makaf), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata, dua daripadanya dalam acara kata manakala baki menerusi kumite.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan nama prospek yang akan membawa pulang emas, sebaliknya sekadar memberi ba­yangan.

“Kami sasar empat emas untuk dimena­ngi pada kali ini.

“Siapa yang menjadi prospek itu seperti biasa...yang pernah menang pada edisi lalu di Kuala Lumpur 2017,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, karate muncul juara keseluruhan setelah memungut tujuh emas, dua perak, empat gangsa.

Dua daripadanya menerusi kata yang disumbangkan Lim Chee Wei untuk perseorangan lelaki; Celine Lee Xin Yi (perseorangan wanita); Emmanuel Leong, Theng Kuang, Hoe Thomson dan Chee Wei (berpasukan lelaki).

Selebihnya pula daripada kumite melibatkan S. Senthil Kumaran (lelaki bawah 60kg), R. Sharmendran (lelaki bawah 75kg); Syakilla Salni Jefry Krisnan (wanita bawah 55kg); P. Madhuri, M. Mathivani, S. Shree Sharmini, Syakilla (berpasukan wanita).

Mengulas lanjut, Nur Azmi berkata, pihaknya akan membuat sesi pemilihan ke temasya di Manila itu berdasarkan prestasi atlet ketika menyertai kejohanan Terbuka Makaf, yang akan berlangsung pada 23 dan 24 Mac ini di Lembah Kelang.