Kejohanan itu untuk edisi tahun ini disertai 16 pasukan berstatus kelab dan tiga pasukan dari institusi pendidikan tinggi (IPT) iaitu Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang.

Perlawanan akan berlangsung pada Sabtu setiap minggu di beberapa vanue seperti padang UTM Skudai, Sekolah Tinggi Kluang dan Sekolah Tinggi Batu Pahat.

Pengarah Kejohanan Liga Ragbi Johor 2019, Muhammad Fikry Zahry berkata, terdapat penambahan penyertaan pasukan untuk kejohanan pada kali ini berbanding tahun lalu.

"Kejohanan JRL 2019 memperlihatkan penambahan tiga pasukan berbanding 16 pasukan pada tahun lalu. Pertandingan tahun ini melibatkan 19 pasukan dibahagikan kepada dua divisyen iaitu 10

pasukan bertanding dalam divisyen satu dan sembilan pasukan bertanding dalam divisyen dua.

"Bagi kejohanan kali ini beberapa penambahbaikan dilakukan antaranya semua pasukan harus menghantar wakil untuk menghadiri kursus 1st Aider (perubatan bantu mula) bagi memastikan setiap pasukan mempunyai pegawai yang mampu memberikan bantuan awal jika berlakunya kecederaan ketika permainan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak penganjur juga memastikan semua pemain daripada setiap pasukan mempunyai perlindungan insuran perubatan sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku

sebarang kecederaan atau perkara tidak diingini.

Bagaimanapun katanya, pihak penganjur tetap menyediakan pegawai perubatan dan ambulan di setiap vanue kejohanan.

Fikry juga menyaran kepada semua peminat ragbi yang berada di negeri ini untuk bersama-sama berada di vanue pertandingan bagi menyemarakkan lagi kejohanan liga kali ini.

"Pihak kesatuan sentiasa merancang pelbagai program bagi menjamin kelestarian sukan ragbi di negeri ini termasuk penganjuran liga ragbi peringkat negeri ini bertujuan mencungkil dan menggilap bakat bakat baharu sukan ini," katanya. - UTUSAN ONLINE