Diangkat sebagai superstar glo­bal pertama sukan itu, dia melonjak untuk dikenali dunia sewaktu Piala Dunia 1995 di Afrika Selatan, setahun selepas menjadi anggota paling muda dalam skuad All Blacks pada usia 19 tahun, 45 hari.

Sewaktu zaman kemuncaknya Lomu, yang mempunyai ketinggian 1.96 meter dengan berat 120 kilogram, mampu membuat lari­an 100 meter hanya dalam tempoh 10.8 saat, yang membolehkan dia memiliki pakej laju dan kuat.

Walaupun New Zealand tewas kepada tuan rumah Afrika Selatan dalam perlawanan akhir Piala Dunia 1995, namun persembahan hebat Lomu ketika menentang England dalam separuh akhir telah meninggalkan memori yang sukar dilupakan oleh peminat sukan ragbi dunia.

Dalam perlawanan separuh akhir itu, Lomu dilihat telah diasak oleh beberapa pemain England sebelum memijak Mike Catt sewaktu berlari untuk mendapatkan empat try sekali gus membantu All Blacks melangkah ke saingan akhir.

“Dia seorang yang mengge­runkan, lebih cepat dia tiada (da­lam perlawanan) lebih bagus,” ka­ta ketua pasukan England ketika itu Will Carling selepas perlawanan.

Sepanjang karier­nya, Lomu telah me­lakukan 37 try dalam 63 perlawanan test dari 1994 hingga 2002.

Bagaimana­pun,tidak lama selepas Piala Du­nia 1995, dia telah didapati menghidap sakit buah pinggang yang jarang berlaku, yang menyebabkan karier-nya tidak panjang.

Pemain sayap itu menjangkakan bahawa, walaupun pada prestasi terbaiknya, penyakit itu menyebabkan dia hanya dapat bermain pada tahap 80 peratus, sering berasa keletihan dan memerlukan beberapa hari untuk pulih daripada sesi latihan.

Selepas kualitinya merosot ke­rana faktor kesihatan selepas Piala Dunia 1995, dia kembali kepada prestasi terbaik dalam edisi 1999, melakukan lapan try untuk menjadikan keseluruhan 15 try dalam Piala Dunia.

Rekod itu hanya mampu dicapai tahun ini oleh pemain Afrika Selatan, Bryan Habana.

Selepas 1999, Lomu tidak pernah lagi mencapai prestasi terbaik yang telah menjadikan dia pemain paling terkenal sukan itu dan karier antarabangsanya tamat pada 2002, ketika dia berusia hanya 27 tahun.

Lomu telah disenaraikan ke dalam Dewan Kemasyhuran Ragbi Dunia pada 2011, dan Lembaga Ragbi Antarabangsa (IRB) berkata dia telah meninggalkan tanda aras kepada Piala Dunia.

Pada tahun yang sama akhbar Britain Sunday Times mengiktiraf Lomu sebagai pemain paling berpengaruh dalam sejarah ragbi, memujinya kerana melonjakkan populariti permainan itu. – AFP