Dalam aksi separuh akhir di Pusat Akuatik Optus hari ini, perenang berusia 22 tahun itu mencatat masa kelima terpantas iaitu 25.60 saat(s) sama dengan perenang dari Ireland Utara, Conor Ferguson.

Kepantasan itu sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan milik Keng Liat iaitu 25.67s ketika di Sukan Komanwel Manchester, 2002.

Catatan masa tersebut adalah lebih pantas dari masa di pusingan kelayakannya iaitu 25.83.

Atlet kelahiran Johor itu mengakui bahawa ia merupakan pencapaian di luar jangkaan dan gembira dengan prestasinya di sini.

“Saya tidak sangka boleh perbaharui catatan peribadi terbaik kerana beraksi buruk dalam 100m kuak lentang. Saya betul-betul fokus untuk acara ini,” katanya.

Masa terpantas aksi separuh akhir hari ini dicatat perenang Australia, Mitch Larkin iaitu 24.91s diikuti dua rakan sepasukannya, Benjamin Treffers 24.99s dan Zac Inserti 25.19s.

Jian Han merupakan perenang kedua negara berjaya melayakkan diri ke final pada temasya kali ini selepas Welson Sim dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki pada Khamis lalu.