Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim bagi memastikan pencarian calon lebih sistematik dan terbuka melibatkan persatuan sukan kebangsaan lain.

Tambah Mohamad Norza, jawatankuasa tersebut diberikan tanggungjawab dalam menetapkan kriteria diperlukan sebagai seorang chef de mission Sukan SEA 2019 dan menilai setiap calon mereka dengan teliti.

“Mungkin dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM yang seterusnya iaitu pada pertengahan bulan depan kita akan dapat nama calon tersebut kerana mesyuarat pertama chef de mission Sukan SEA 2019 akan berlangsung hujung November ini.

“Proses pemilihan calon tersebut akan dipilih menerusi penilaian jawatankuasa yang ditubuhkan itu selain mendapatkan cadangan daripada persatuan sukan kebangsaan kerana kita mahu ia menjadi lebih sistematik,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif MOM, di sini, hari ini.

Sukan SEA 2019 dijadual berlangsung di Manila pada 30 November hingga 10 Disember 2019 dan ketika ini jumlah sukan dan acara yang bakal dipertandingkan masih belum dimuktamadkan lagi.

Sementara itu, Mohamad Norza turut memberitahu pihaknya akan terus memperjuangkan nasib 13 sukan yang menjadi tumpuan negara untuk dipertandingkan dalam temasya dwitahunan itu.

“Matlamat kita adalah menetapkan 13 sukan sebagai rayuan kepada pihak penganjur dan mempertahankan sukan-sukan berkenaan agar diterima.

“Buat masa ini segala keputusan masih lagi belum disahkan lagi dan kita akan tunggu kata putus seterusnya,” kata Mohamad Norza.