Itu nasihat bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Mazlan Ahmad jika kontinjen Malaysia tidak mahu pulang tangan kosong dari Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut Mazlan, ketika ini program MSN lebih tertumpu kepada persiapan menghadapi temasya tersebut secara umum dan tidak spesifik, sehingga beliau tidak nampak bayangan atlet yang mampu disandarkan harapan untuk meraih pingat.

“Sukan Olimpik kurang dua tahun lagi dan usaha untuk mendapatkan pingat emas pertama harus bermula sekarang jangan tunggu lama.

“Ketika ini saya lihat sukan yang mampu menyumbang pingat dalam Olimpik ialah berbasikal, terjun dan badminton.

“Semua persatuan sukan kebangsaan melibatkan tiga sukan itu harus dipanggil berbincang untuk menyenaraikan atlet yang berpotensi menyumbang pingat dalam Sukan Olimpik.

“Atlet yang mencari tempat untuk bertanding di Tokyo atau yang sudah layak tetapi peluangnya untuk memenangi pingat hampir tiada, terutama emas sewajarnya tidak dima­sukkan dalam program ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kata Mazlan, program tersebut harus memberikan fokus kepada atlet yang mampu mendapatkan pingat dalam temasya di Tokyo berbanding sekadar melepasi kelayakan sahaja.

Dalam pada itu, Mazlan turut mencadangkan agar jumlah atlet sesuai bagi menyertai program khas tersebut dalam lingkungan 10 orang sahaja.

“Pandangan saya jumlah tersebut tidak sukar untuk disenaraikan terutama apabila meliputi sukan terjun, berbasikal dan badminton.

“Dalam badminton mungkin empat hingga lima orang atlet yang layak menyertai, terjun dalam anggaran tiga atau empat yang mampu menyumbang pingat manakala kita jangka satu atlet dalam berbasikal,” kata Mazlan.

Keadaan kesihatan Datuk Lee Chong Wei yang masih tidak menentu kerana baru pulih daripada kanser hidung me­nyebabkan tumpuan badminton terarah kepada beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Pemain muda, Lee Zii Jia masih kurang menyerlah, begitu juga juara remaja dunia, Goh Jin Wei, sekali gus sukar untuk menetapkan sasaran daripada acara perseorangan lelaki serta wanita.

Dalam terjun, Pandelela Rinong masih menjadi sandaran terbaik, tetapi situasi Cheong Jun Hoong yang belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan lutut sedikit meresahkan manakala dalam basikal Azizulhasni Awang pastinya calon terbaik untuk menyumbang pingat di Tokyo.