Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, pada masa ini, atlet dipilih adalah menerusi persatuan sukan masing-masing.

"Beberapa persatuan sukan sudah membuat pemilihan tetapi mungkin dalam skala besar sebelum kami tapis dan memilih atlet yang benar-benar layak menyertai temasya itu," katanya kepada Bernama di sini.

Mengenai penyertaan pada temasya dijadual berlangsung dari 11 hingga 19 Julai tahun depan itu, Mohamad Taufek berkata kontinjen Negeri Sembilan tidak akan menghantar atlet semata-mata untuk meramaikan peserta.

"Kami mahu atlet yang menyertai kejohanan itu berkualiti dan mampu menyumbang pingat kepada Negeri Sembilan. Kami akan cari atlet terbaik," katanya.

Pada edisi Sukma ke-19 di Perak tahun lalu, Negeri Sembilan menyertai 34 acara membabitkan 406 atlet dan meraih 13 pingat emas, 18 perak serta 43 gangsa. - BERNAMA