Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo berkata, ini adalah bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.

"Pengurus pasukan setiap sukan diberi arahan untuk sentiasa berpesan kepada atlet agar berhati-hati ketika makan dan bukan sahaja terhad kepada bahan terlarang yang boleh menyebabkan positif doping," katanya dalam sidang akhbar selepas upacara menaikkan bendera kontinjen di perkampungan sukan di Universiti Griffith, di sini hari ini.

Sementara itu, seramai 150 atlet dan pegawai Malaysia akan menyertai acara perbarisan sempena upacara pembukaan rasmi temasya tersebut, esok.

"Kontinjen negara akan tampil mengenakan busana ciptaan Cosry, baju Melayu dan baju kurung berwarna merah dan biru...baju yang dipakai ketika Sukan SEA ke-29 tahun lepas," kata Beng Choo yang turut menambah, tidak semua atlet negara akan mengambil bahagian dalam acara perarakan masuk kontinjen itu, khususnya mereka yang terlibat dengan pertandingan pada Khamis.

"Tidak semua atlet menyertainya kerana kita mahu atlet yang acara mereka bermula keesokan hari (Khamis) mendapatkan rehat secukupnya," katanya.

Jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan rasmi temasya sukan empat tahun sekali itu.

Upacara pembukaan temasya sukan berprestij yang bakal disertai 6,600 atlet dan pegawai dari 71 negara Komanwel itu akan diadakan di Stadium Carrara yang boleh memuatkan 35,000 penonton. - BERNAMA