Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Penaung Diraja Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs) bersama dengan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akahshah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan penyampaian hadiah kepada semua para pemenang di Dataran Datuk Sheikh Ahmad Kangar, Sabtu malam lalu.


Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Presiden PWNPs, Prof Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan timbalan beliau Zaharin Haris.


Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Woodball Asia AWF), Thomas Kok dan Presiden Persatuan Woodball Malaysia (MWA) Elaine Tan.


JKNPs menumpaskan pencabarnya, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Perlis dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan di Laman Woodball Antarabangsa Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra baru-baru ini.


Keputusan akhir pemain JKNPs dahulu :


1. Mohd Fazli Mohamed (108 stroke) menang ke atas Sukri Bin Salim (138 stroke).


2. Hasfizal Samad (106 stroke) tewaskan Hj. Abd. Halim Abd. Rahman (128 stroke).


3. Nor Azah Halib (134 stroke) tumpaskan Izumi Husin (134 stroke) On Count Back.


4. Mas Ayu Jamaludin (150 stroke) dikalahkan oleh Salina Kasa (149 stroke).


5. Azizan Zainol/Rahimah Raimi (136 stroke) ditundukkan oleh Hj. Ahmad Rahimi/Ruzanna Hat (135 stroke).


Tempat ketiga dikongsikan bersama oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPS) dan juara bertahan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terkandas di peringkat separuh akhir.


Kejohanan liga woodball berprestij merebut Piala Tuanku Syed Faizuddin Putra tahun ini bermula pada bulan Februari yang lalu lagi dan telah tamat pada Oktober lalu melibatkan 39 pasukan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Perlis dengan penyertaan lebih daripada 1,000 orang pemain woodball Perlis bertarung pada setiap hujung minggu.


Kejohanan edisi ketiga bagi tahun 2019 akan bermula pada bulan Januari tahun hadapan dan pasukan-pasukan yang bakal mengambil bahagian kini sudahpun mula giat mengadakan sesi pemilihan pemain serta perlawanan persahabatan sebagai persiapan awal.