Keputusan drastik itu dibuat Lembaga Pengarah IPC dalam mesyuarat di London hari ini selepas Malaysia gagal membenarkan penyertaan atlet Israel dalam kejohanan yang sepatutnya berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos ini.

Pada 9 Januari lalu MPM memberitahu Utusan Malaysia mereka berdepan situasi ‘ditelan mati emak, ­diluah mati bapa’ selepas Israel mengeluarkan amaran untuk memberi tekanan kepada Malaysia de­ngan melibatkan IPC, Jawatankuasa Paralimpik Eropah dan Jawatankuasa Olimpik Atlet.

Dalam satu kenyataan rasmi hari ini, Presiden IPC, Andrew Parsons berkata, kejohanan bertaraf dunia sepatutnya terbuka kepada penyertaan atlet dari seluruh negara tanpa diskriminasi.

“Pada September 2017 apabila IPC menandatangani kontrak bersama MPM bagi me­nganjurkan kejohanan Renang Para Dunia 2019, kami telah diyakinkan bahawa semua atlet dan negara dibenarkan bertanding.

“Sejak itu, berlaku perubahan kepimpinan politik dan kerajaan Malaysia yang baharu mempunyai idea berbeza.

“Politik dan sukan bukan satu campuran yang bagus malah kami amat kecewa kerana atlet Israel tidak dibenarkan bertanding di Malaysia.

“Berdasarkan keputusan hari ini, kami kini mencari tuan rumah baharu bagi kejohanan itu kerana ia akan menjadi kelayakan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020 manakala tarikh akan dikekalkan,” kata Parsons.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, Malaysia tegas dengan pendiriannya dan tidak akan berkompromi.

“Jika menjadi tuan rumah acara sukan antarabangsa lebih pen­ting daripada berdiri untuk saudara-saudara Palestin kita yang telah dibunuh, dicederakan dan diseksa oleh rejim Netanyahu, ini bermakna Malaysia telah benar-benar kehilangan moralnya,” kata Syed Saddiq.