JOHN ISNER meraikan kejayaannya menewaskan Juan Martin del Potro
JOHN ISNER meraikan kejayaannya menewaskan Juan Martin del Potro 6-1, 7 -6 (7/2) pada separuh akhir kejohanan tenis Terbuka Miami di Key
Biscayne, Florida. – AP

Wakil tuan rumah tersebut menyempurnakan 13 ace dan hanya memerlukan selama satu jam, 23 minit untuk menundukkan Del Potro dari Argentina bagi menempah slot ke perlawanan akhir, esok.

Isner bakal menghitung pertemuan dengan pemain muda Jerman, Alexander Zverev yang menewaskan Pablo Carreno Busta dari Sepanyol 7-6 (7/4), 6-2 dalam satu lagi separuh akhir.

Isner, 32, tiba di Florida Selatan dengan hanya mencatat enam kemenangan pada 2018, tetapi dia mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan di Key Biscayne dan kini mengintai gelaran pertamanya pada ATP Masters.

“Saya telah bermain dalam banyak perlawanan besar dan gagal memulakan aksi saya dengan baik, tetapi saya pernah mempamerkan permainan yang bagus sepanjang karier saya.

“Saya sangat gembira. Dia kelihatan sangat keletihan dan telah bermain dalam begitu banyak perlawanan. Walaupun, set pertama berlangsung dalam tempoh yang agak singkat, saya sedar saya tidak boleh berada di dalam kedudukan selesa di set kedua.

“Saya tidak sangka dapat mengubah persembahan saya seperti ini selepas apa yang saya harungi setakat ini. Saya bermula dengan baik pada pertandingan ini dan saya mempamerkan peningkatan dalam setiap perlawanan. Saya benar-benar cergas dan bersedia untuk perlawanan akhir,” kata Isner. – AFP