Selama ini, peminat hanya disajikan dengan cerita perit jerit atlet menjalani latihan sehingga kadangkala tiada masa untuk keluarga, namun mereka tidak pernah tahu, di sebalik juara ada insan lain yang turut berkorban dan kisah mereka tidak pernah didendang.

Menerusi ruangan Di Belakang Tabir yang disiarkan setiap Selasa, Utusan Malaysia akan berkongsi proses melahirkan juara bermula daripada tugas pakar analisis, psikologi, pemakanan, tukang urut, fisioterapi, doktor sehinggalah teknologi canggih yang digunakan untuk menghasilkan keputusan terbaik.

Bagi keluaran pertama, wartawan Utusan Malaysia, ZAZALI JAMIAN mendapatkan penjelasan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Zawawi Zakaria mengenai peranan besar yang dimainkan dalam memacu kejayaan sukan negara.
 

DALAM sesuatu kejohanan besar, jika anda perhatikan di sekeliling venue pasti ada seseorang memegang video merakam perlawanan menggunakan kamera kecil dan kadang kala dilihat seakan-akan berhubung dengan seseorang.

Mereka adalah pegawai analisis prestasi ISN. Tugas mereka amat pen-ting kerana menjadi ‘mata-mata’ kepada jurulatih dan atlet untuk mengetahui kelemahan lawan serta corak permainan boleh digunakan.

“Pegawai ISN kadang kala memainkan peranan seperti perisik. Mereka mengenal pasti kelemahan lawan untuk membantu atlet.

“Ini antara tugas yang tidak diketahui umum malah ramai tidak tahu peranan sebenar ISN. Selain itu, kami juga ada banyak bidang lain seperti biomekanik, fisiologi, psikologi, pemakanan prestasi, analisis prestasi, perubatan sukan, fisioterapi dan beberapa lagi.

“Semua itu adalah kepakaran ISN dan bagi saya dua bidang penting utama yang sering mengiringi sesuatu sukan ialah analisis prestasi dan psikologi,” kata Ahmad Zawawi.

Menurut Ahmad Zawawi, pegawai psikologi berperanan menilai tingkah laku, persekitaran serta perkembangan terbaharu pihak lawan menerusi pemerhatian berterusan sebelum menyalurkan maklumat-maklumat tersebut kepada atlet dan jurulatih dalam erti kata lain memaklumkan apa sahaja dilihat boleh digunakan untuk melemahkan lawan.

“Dari situ, ISN akan tentukan apa keperluan seseorang atlet dan bukan atlet itu yang menentukan keperluan mereka kerana kami lebih mengetahui apa yang boleh meningkatkan prestasi atlet.

“Secara umumnya hanya pegawai bidang psikologi dan analisis prestasi akan menemani atlet atau pasukan dalam sesuatu kejohanan tetapi jika atlet itu mempunyai potensi tinggi meraih pingat emas di pentas besar, maka lebih banyak pegawai ISN daripada pelbagai bidang akan ditugaskan,” katanya lagi.

Pakar psikologi juga memainkan peranan penting dalam me-nguatkan mental atlet kerana ia antara faktor penting melahirkan juara, selain fizikal, teknikal atau taktikal.

Apa yang bermain di fikiran dan perasaan seseorang atlet boleh memberi kesan terhadap prestasi mereka, jadi ahli psikologi membantu atlet serta jurulatih meningkatkan kekuatan mental menjelang atau semasa sesuatu kejohanan.

Perkhidmatan fisioterapi dan rehabilitasi sukan di ISN pula menyumbang sebahagian besar proses rawatan kecederaan atlet selain memenuhi keperluan mereka secara individu, orga-nisasi itu memiliki pasukan lengkap daripada doktor, jururawat, pembantu perubatan dan lain-lain.

Pemilihan makanan dan minuman penting untuk atlet. Mereka perlu mengambil jenis makanan serta kuantiti yang tepat mengikut kesesu­aian masa seperti ketika latihan, dalam proses pemulihan serta pertandingan.

Oleh itu, pasukan ahli pemakanan sukan dan dietitian Pusat Pemakanan Sukan ISN memberikan perkhidmatan berasaskan fakta saintifik untuk diaplikasikan atlet.

Tambah Ahmad Zawawi, ISN mempunyai kemudahan terbaik di peringkat Asia Tenggara, malah ISN juga melibatkan diri secara aktif bersama Persatuan Institut Sukan Asia (ASIA) sejak 2016.