Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata penyertaan dari pelbagai kaum dan agama dalam acara itu telah menunjukkan satu impak yang besar iaitu integrasi antara kaum sememangnya wujud serta utuh hingga ke hari ini.

“Larian ini juga dapat dijadikan sebagai salah satu daya usaha untuk membentuk insan yang berkualiti bagi menjamin masa depan yang produktif. Selain itu, bersukan menjadi salah satu langkah awal dalam mengawal penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung yang kini semakin membimbangkan dalam kalangan rakyat negara ini.

“Melalui aktiviti ini juga kehidupan sosial akan menjadi semakin ceria dan meriah kerana adanya perpaduan dalam masyarakat untuk menjalani kehidupan yang sihat,” katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah IJM Land Half Marathon 2019 di Dataran Centrio, Seremban 2 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan IJM Land Berhad Edward Chong Sin Kiat.

Aminuddin berharap penganjuran program seperti ini akan menjadi pemangkin untuk merealisasikan masyarakat Malaysia yang sihat.

Katanya tidak dapat dinafikan, kemenangan merupakan elemen utama dalam setiap pertandingan, tetapi yang paling penting adalah peserta mengutamakan semangat kesukanan dan perpaduan antara satu sama lain.

“Kerajaan negeri menyokong dan mengalu-alukan program seperti IJM Land Half Marathon 2019 ini diadakan oleh agensi kerajaan dan syarikat korporat pada masa hadapan,” katanya.

Lebih 10,000 peserta menyertai acara tahunan itu yang dianjurkan pemaju Seremban 2, IJM Land Berhad (IJM Land).

Acara larian sejauh 5km, 12km dan 21km itu merupakan edisi kelapan pada tahun ini. - BERNAMA