Bagaimanapun, tidak semua IPT menggalas tanggungjawab sama. Bagi Univesiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula, kelebihan universiti tersebut ialah menawarkan kepakaran dalam bidang pengurusan padang yang berkualiti sehingga dipilih sebagai venue latihan skuad Harimau Malaya bagi aksi Piala AFF, baru-baru ini.

Bagi ruangan Di Belakang Tabir, wartawan NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR sempat menemui

NUR EKMAL BUKHARY
NUR EKMAL BUKHARY 

Ketua Unit Pengurusan Kemudahan dan Acara Pusat Sukan USIM, Nur Ekmal Buhary bagi mendapatkan penerangan mengenai perkhidmatan yang disediakan mereka.

USIM telah mula mengorak langkah dalam bidang pengurusan padang sejak 2007, bermula dengan kemudahan padang bola sepak yang diberi nama Kompleks Sukan Tunku Najihah. Kompleks itu hanya dibuka untuk kegunaan luar pada 2012.

Menerima pengiktirafan daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) serta Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kompleks sukan itu kini menjadi lokasi ideal untuk digunakan pasukan bola sepak dari dalam serta luar negara bagi menjalani latihan.

Nur Ekmal berkata, USIM memiliki empat buah padang untuk kegunaan ramai termasuk pasukan yang ingin menjadikan universiti itu sebagai lokasi latihan.

Menurutnya, bagi memastikan kualiti padang sentiasa terpelihara sepanjang masa, pihak USIM telah menggunakan kaedah cooling period dengan proses penjagaan selama 365 hari tanpa mengira hari hujan ataupun panas.

“Kami tidak memiliki kelebihan seperti UiTM (bidang sains sukan) atau universiti lain yang mampu melahirkan atlet-atlet kebangsaan, tetapi kami mahu turut sama memberikan sumbangan kepada sukan negara.

“Atas dasar itu kami memilih untuk memberi tumpuan kepada pengurusan fasiliti khusus­nya padang kerana bukan semua mampu menyediakan padang setaraf pasukan bola sepak JDT (Johor Darul Ta’zim). Tetapi beri kami masa kerana kami sedang menuju ke arah itu.

“Matlamat utama kami, menjadi hab sukan tumpuan kepada kelab-kelab atau negara luar terutama semasa aksi pra-musim,” katanya.

Dengan menjadikan PVF Academy di Vietnam sebagai model pembangunan, USIM sedang mengorak langkah untuk menyediakan lebih banyak kemudahan selain padang pada masa hadapan.

Kedudukan yang strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Velodrom Nasional, USIM menawarkan pakej perkhidmatan lengkap merangkumi pengangkutan, penginapan, keselamatan dan perubatan profesional kepada mereka yang mahu menggunakan kemudahan di situ.

Justeru, tidak hairanlah USIM kini menjadi lokasi pilihan beberapa kelab termasuk Felda United, PJ City, Negeri Sembilan dan beberapa kelab lain untuk menjalani latihan pra-musim.

“Apabila padang diselenggara dengan sempurna, risiko kecede­raan dapat dikurangkan dan kami sentiasa menitik beratkan soal kualiti. Kami juga tidak bertolak ansur dengan soal kebersihan. Tidak kira sama ada mereka pasukan kebangsaan, dari luar negara atau sesiapa sahaja, tindakan tegas akan tetap dikenakan,” kata Nur Ekmal yang memberitahu padang itu turut menjadi pilihan skuad bola sepak Iran dan Korea Selatan sebagai persiapan Piala Dunia 2016.