Pelari dari Melaka itu memiliki catatan peribadi terbaik 10.18 saat iaitu rekod kebangsaan yang diciptanya dalam Sukan Malaysia 2016 di Sarawak.

Walau bagaimanapun dia hanya mampu menamatkan larian dalam pusingan pertama pada hari pembukaan olahraga Sukan Komanwel hari ini dengan masa 10.50s.

Catatan terbaiknya sebelum ke Gold Coast adalah 10.24s ketika mara ke pusingan akhir Kejohanan Olahraga Asia di Bhubaneswar, India pada Julai tahun lalu.

Apabila perlumbaan dimulakan semula setelah peserta dari Tuvalu, Karalo Maibuca membuat ‘false start’, Khairul Hafiz yang berlari di lorong kedua dalam saringan kesembilan itu bermula dengan baik namun langkahnya kelihatan ‘keras’ di pertengahan perlumbaan untuk akhirnya tercicir di tempat keempat.

Saringan itu dimenangi oleh Trae Williams dari Australia dengan masa 10.28s diikuti Mark Otieno Odhiambo (10.35s) dari Kenya dan jaguh Swaziland, Sibusiso Matsenjwa (10.40s). Hanya dua peserta terpantas daripada setiap saringan layak ke separuh akhir.

Mengulas mengenai lariannya di Stadium Carrara hari ini, juara Sukan SEA 2017 itu berkata, fokusnya agak terganggu selepas perlepasan pertama dibatalkan sedangkan dia sudah bersedia sepenuhnya ketika itu.

“Mungkin saya hilang fokus sedikit selepas melihat orang sebelah lebih laju dan memintas saya.

“Lagipun masa perlepasan pertama, sebelum berlaku false start, saya sudah bersedia sepenuhnya tetapi disebabkan kejadian itu saya terganggu dan hilang fokus. Apabila perlepasan kedua dilakukan, saya masih terkesan dan terus tidak fokus,” katanya.

Ini adalah kali pertama Khairul Hafiz menyertai Sukan Komanwel dan persaingan dalam acara 100m pada temasya empat tahun sekali itu sangat tinggi lantas pengalaman tersebut seharusnya sesuatu yang amat berguna untuk atlet berusia 19 tahun sepertinya.

Khairul Hafiz masih mempunyai satu lagi peluang untuk membuktikan kebolehannya apabila bersaing dalam acara 4x100m pada Jumaat depan. Dia akan bergandingan dengan Jonathan Nyepa, Nixson Kennedy dan Badrul Hisyam Manap atau Rayzam Shah Wan Sofian.