Malaysia yang baru melonjak satu anak tangga ke kedudukan ke-11 dunia pada Ahad lalu, menerima laluan sukar apabila diundi menentang pemenang pingat emas Olimpik tiga kali itu, berbanding negara lain seperti Sepanyol, New Zealand dan Kanada pada majlis undian di Switzerland, malam tadi.

Selain berhadapan dengan pasukan  kuat, pemain negara juga terpaksa menghadapi perbezaan waktu selama tujuh jam dan cuaca permulaan musim sejuk apabila beraksi di Lee Valley Hockey and Tennis Centre, London pada 2 dan 3 November ini, di mana suhu boleh jatuh ke paras bawah 15 darjah Celsius.

Bagaimanapun Sukri mahu rakan sepasukannya terus menunjukkan prestasi yang dipamerkan, ketika Jelajah Eropah pada bulan lalu yang menyaksikan Malaysian Tigers mengikat England 3-3 dan memperbaiki kelemahan yang ada.

Untuk saingan Sukan Olimpik, Great Britain akan disertai majoriti pemain dari pasukan No. 7 dunia, England, selain Wales (18) dan Scotland (19).

"Ada beberapa aspek positif yang kita boleh terapkan dalam pasukan. Sebelum ketua jurulatih, Roelant Oltmans mengambil alih, kita agak bermasalah apabila bertemu pasukan Eropah, terutama Great Britain tetapi pada tahun ini, kita berjaya rapatkan jurang dengan England.

"Saya rasa kita dah semakin memahami struktur permainan yang ingin diterapkan Roelant ketika ini. Saya yakin kita dapat mengulangi pencapaian layak ke Piala Dunia 2018 secara merit di London (menerusi Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia) pada kali ini," katanya.

Malaysia meraih kelayakan ke Piala Dunia selepas menamatkan kempen di kedudukan empat teratas, namun skuad negara mengalami kekalahan 7-3 pada peringkat kumpulan dan 4-1 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kepada tuan rumah, England ketika itu.

Sukri turut memuji pemain muda seperti Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Muhammad Noor Firdaus Rosdi yang telah menunjukkan prestasi baik apabila diturunkan mengisi kekosongan, selepas beberapa pemain utama mengalami kecederaan.

Kali terakhir Malaysia layak beraksi dalam Sukan Olimpik adalah di Sydney 2000. - BERNAMA