Sherren ketika ini beraksi buat Melbourne HC dalam saingan Liga Hoki Australia.

Ibu Sherren, Dr. Rohani Paimin berasal dari Johor, Malaysia manakala bapanya dari Australia malah situasi itu cukup untuk melayakan pemain tengah itu dipanggil mewakili skuad kebangsaan.

Kata Rohani, anaknya memang memasang impian mewakili Malaysia malah hampir menyertai salah satu pasukan Liga Hoki Malaysia (MHL) pada tahun lalu.

"Sejak berusia 10 tahun dia mewakili Hockey Victoria dan untuk musim ini Melbourne HC menyambarnya untuk saingan Liga Hoki Australia.

"Dia juga menjadi antara barisan pemain Australia yang meraih tempat ketiga pada Kejohanan Hoki Dalam Dewan Dunia 2018 di Berlin iaitu pencapaian terbaik Australia setakat ini.

"Pada masa sama dia juga begitu berminat untuk mewakili Malaysia, cumanya sebelum ini tidak kesampaian untuk ke sana kerana terikat dengan komitmen di sini," katanya.

Bakat pemain berusia 24 tahun itu dikesan oleh Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datum Seri Megat D Shahriman Zaharudin ketika lawatannya ke Melbourne,baru-baru ini.

Prestasi Sherren dilihat amat meyakinkan malah Megat D Shahriman turut mengakui pemain berkenaan mempunyai kualiti tersendiri selain tidak menolak kemungkinan mahu mengikatnya beraksi bersama pasukan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang bakal ditubuhkannya pada tahun depan.

"Saya akan bekerjasama dengan kelab hoki diwakili oleh Sherren untuk bawa pemain berkenaan beraksi dalam saingan MHL dan mungkin ia akan menjadi medan dia boleh yakinkan jurulatih Malaysia," katanya.- UTUSAN ONLINE