Terbaharu, bekas penyerang negara berusia 34 tahun itu berjaya meyakinkan kelabnya Pistoia HC untuk ‘memborong’ bersamanya tonggak tengah Pasukan Hoki Terengganu (THT), Azri Hassan serta pertahanan UiTM, M. Saravanan.

Dalam masa sama penyerang Maybank Hafiizhuddin Zaidi dan Pavandip Singh juga akan mewakili Butterfly Roma HCC yang beraksi dalam divisyen utama Itali.

Kata Selvaraju, dia memang mahu melihat ramai pemain Malaysia beraksi di Eropah agar lebih banyak terdedah dengan corak permainan pantas di sana.

“Saya tidak mahu benda ini semata-mata berakhir dengan saya. Sebenarnya ramai pemain Pakistan dan India berkelana di Eropah. Jadi, saya berharap Malaysia pun sama.

“Dulu saya pergi sana sebagai pemain tetapi kini saya diberi dua peranan iaitu sebagai pemain merangkap penolong jurulatih sekali gus memudahkan untuk membawa pemain Malaysia ke Itali,” katanya dalam majlis memperkenalkan pemain-pemain Malaysia ke Itali, hari ini.

Majlis yang diadakan hasil inisiatif Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin itu bagi meraikan kesemua pemain berkenaan selain memberikan sumbangan RM 1,000 bagi setiap pemain. - UTUSAN ONLINE