Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan MHC, George Koshy berkata, sembilan pasukan remaja lelaki itu adalah pasukan Divisyen Satu, musim lepas, manakala lima lagi slot akan diisi menerusi saingan kalah mati melibatkan 10 pasukan Disvisyen Dua, musim lalu.

Susulan ketiadaan saingan bagi Divisyen Dua, musim ini, sebanyak 10 pasukan tidak layak beraksi dalam Divisyen Satu akan bersaing dalam peringkat kalah mati yang bakal berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini pada 14 dan 16 Jun ini.

"Setiap pasukan yang beraksi dalam perlawanan kalah mati akan menentang dua pasukan berlainan. Pemilihan lima pasukan yang akan turut bersaing dalam LHRM 2019 ini adalah berdasarkan kepada kedudukan mata terkumpul mereka.

"Pasukan menang akan menerima tiga mata, jika seri dihadiahkan satu mata, namun, akan ada perlawanan 'shoot-out' (pukulan penentuan). Pasukan yang menang shoot-out akan mendapat satu mata tambahan," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

LHRM 2019 bagi kategori lelaki akan membuka tirai pada 21 Jun, manakala kategori wanita dijadual 28 Jun. Aksi final kedua-dua kategori berkenaan berlangsung pada 3 Ogos.

Mengulas lanjut, Koshy berkata, MHC juga bercadang memperkenal saingan sulung Liga Hoki Remaja Bawah 19 tahun pada Disember ini, yang akan menampilkan juara serta naib juara saingan Liga Hoki Remaja peringkat negeri.

"Kami melakukan perubahan ini kerana jika dilihat penyertaan pasukan negeri dalam Liga Hoki Remaja tidak memberangsangkan dan kami mahu Liga Hoki Remaja peringkat negeri menjadi satu liga penting.

"Kami juga berharap pasukan bertanding pada LHRM 2109 akan turut sama menyertai liga di peringkat negeri bagi meningkatkan lagi kualiti saingan liga tersebut," katanya.

Koshy, bagaimanpun berkata, tarikh serta venue bagi liga bawah 19 tahun itu yang akan dijalankan dalam bentuk karnival masih belum diputuskan. - BERNAMA