Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, walaupun skuad negara masih belum layak ke temasya itu kerana perlu beraksi pada pusingan kelayakan terakhir November ini, jemputan tersebut sudah pasti memberikan sesuatu yang positif buat para pemain untuk merasai sendiri aura Sukan Olimpik sekaligus mendorong mereka berusaha lebih gigih.

“Sekembali daripada latihan di Eropah Julai nanti, kami dijemput untuk menyertai perlawanan ujian yang berlangsung di stadium hoki Olimpik oleh Persatuan Hoki Jepun membabitkan empat negara sahaja.

“Selain Jepun selaku tuan rumah dan Malaysia, pasukan lain yang dijemput adalah New Zealand dan Australia. Alhamdulillah kita diberi penghormatan istimewa ini untuk menguji venue hoki Sukan Olimpik lebih awal walaupun belum layak lagi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Hoki bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, semalam.

Menurut Subahan, MSN telahpun memberi lampu hijau kepada perancangan MHC itu bermula dengan latihan pusat mulai Jun diikuti pendedahan di Eropah pada Julai, perlawanan ujian di Jepun, Ogos ini dan lima siri perlawanan ujian menentang Korea Selatan di Incheon pada September.

“Semua ini adalah sebagai pendedahan dan persiapan ke Olimpik 2020 nanti. Ketika ini semua pemain dibenar pulang berehat selepas berakhir kempen Kumpulan B Siri Akhir FIH 2019 di Bukit Jalil, baru-baru ini dan akan kembali melaporkan diri untuk latihan pusat pada 20 Jun.

“Dari situ, mereka akan diberi pendedahan secukupnya di Eropah iaitu ke Sepanyol, Itali dan Belanda pada Julai memandangkan kita berkemungkinan akan berjumpa pasukan Eropah di pusingan kelayakan terakhir November nanti,” tegasnya.

Ditanya lanjut tentang pasukan yang akan ditentang Malaysian Tigers pada kelayakan itu, Subahan meramalkan kemungkinan besar adalah pasukan Sepanyol, England atau Belgium.

“Bagaimanapun, tidak mustahil jika New Zealand dan Kanada atau mungkin juga India. Inilah antara pencabar terakhir kita,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE