Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Profesor Datuk Dr Shamala Subramaniam berkata, meskipun setakat ini belum diketahui Malaysia bakal bertemu pasukan mana, adalah penting bagi skuad negara menampilkan aksi terpuji pada saingan berkenaan.

"Sasaran kita hanya satu, mesti layak ke Sukan Olimpik. Kita sedia maklum pada pusingan kelayakan akhir ini semua yang bertanding adalah pasukan gergasi dunia termasuk kita, jadi tidak boleh ada walau satu peratuspun rasa kebarangkalian yang kita tidak boleh buat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Skuad 'Malaysian Tigers' bakal diundi menentang satu daripada pasukan Jerman, Great Britain, Sepanyol, New Zealand atau Kanada, pada undian yang akan diadakan di Lausanne, Switzerland, Isnin depan.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Paulian Green Turf (amp) Brother James Macken Challenge Trophy 2019 yang dirasmikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Paul Seremban.

Mengenai skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita yang bakal bersaing pada Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini, Shamala menyasarkan pingat emas bagi kedua-dua pasukan itu.

Terdahulu pada majlis tersebut, Anthony yang merupakan bekas murid SK St. Paul menyumbangkan RM25,000 bagi menampung baki kos pembinaan padang hoki sekolah berkenaan yang dibina pada Januari lepas, dengan kos keseluruhan bernilai RM126,000. - BERNAMA