Anak didik ketua jurulatih negara Roelant Oltmans tewas 2-6 kepada Belanda, yang juga merupakan kekalahan kedua selepas aksi pertama pada Selasa yang menyaksikan skuad negara tewas 4-6.

Dalam aksi di Breda, Belanda, Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi gol padang penyerang muda negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum Bjorn Kellerman meletakkan Belanda di hadapan dengan dua jaringan pada minit kelapan dan minit ke-19.

Belanda seterusnya menambah gol ketiga beberapa saat sebelum tamat aksi separuh masa pertama melalui gol padang Jeroen Hertzberger, yang berkesudahan dengan keputusan 1-3 berpihak kepada pasukan lawan.

Bersambung di babak kedua, Belanda menjaringkan gol padang keempat melalui Billy Bakker pada minit ke-33 dan berselang empat minit kemudian, giliran Jelle Galema pula melebarkan jurang jaringan.

Malaysia cuba untuk bangkit merapatkan kedudukan pada minit ke-52 apabila Mohamad Akhimullah sekali lagi mencatat nama selaku penjaring namun Bjorn Kellerman menidakkan usaha skuad negara untuk cuba merapatkan kedudukan dengan meledak jaringan hatrik dua minit sebelum perlawanan berakhir dengan keputusan 6-2 berpihak kepada tuan rumah.

Oltmans dalam satu kenyataan media oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menyifatkan kebuntuan untuk menterjemahkan 15 percubaan dalam separuh masa pertama menyebabkan mereka dihukum oleh pihak lawan.

“Kami beraksi dengan baik pada separuh masa pertama tetapi kami tidak menggunakan 15 percubaan yang dimiliki dengan sebaiknya sementara lawan kami berjaya menggunakan peluang mereka untuk menjaringkan gol. Belanda adalah pasukan yang pastinya akan menghukum lawan menerusi setiap kesilapan yang dilakukan.

“Tetapi apa yang penting untuk kami adalah belajar daripada kesilapan serta kelemahan pada perlawanan ini dan tunjukkan satu peningkatan pada dua perlawanan terakhir kami dalam Siri Jelajah ini iaitu bertemu Belgium,” katanya.

Malaysia masih mempunyai baki dua lagi aksi ujian bertemu pasukan di ranking kedua dunia, Belgium (pukul 12 tengah malam ini) dan pada Isnin, menentang pasukan yang sama. - BERNAMA