Ia kekalahan keempat dicatat skuad kendalian Roelant Oltmans yang menghuni ranking ke-12 dunia, sejak kemenangan 4-2 ke atas pasukan ranking ketujuh dunia, Jerman pada 26 Julai lalu.

Malaysia tewas 0-1 di tangan Sepanyol pada 31 Julai lepas, sebelum tewas 4-6 diikuti 2-6 kepada pasukan di ranking ketiga dunia, Belanda pada Selasa dan Khamis lalu.

Pada aksi malam tadi, Belgium di bawah bimbingan Shane McLeod tidak berdepan masalah merobek gawang negara untuk mendahului 2-0 seawal minit kelapan menerusi jaringan padang Cedric Charlier pada minit ketujuh dan Nicolas de Kerpel seminit kemudian.

Tersentak dengan kedudukan itu, Malaysia bangkit memberi tentangan selepas berjaya menyerap tekanan dilakukan pasukan lawan, namun Tom Boon berjaya mencuri peluang meledak gol ketiga Belgium pada minit ke-24 menerusi gol padang.

Malaysia yang enggan menyerah kalah berjaya memperoleh gol pertama hasil jaringan padang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil pada minit ke-34 untuk merapatkan kedudukan 3-1.

Bagaimanapun, Belgium dengan status pasukan gergasi, ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menambah dua gol masing-masing dijaringkan Florent van Aubel pada minit ke-51 dan Victor Wegnez (minit ke-57), sekali gus mengesahkan kemenangan di laman sendiri.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi dalam aksi ujian keenam Siri Jelajah Eropah pada Isnin. - BERNAMA