Debaran itu turut dirasai penyerang sensasi negara, Faizal Saari yang amat berharap dapat mengelak bertemu England. Kini nasib Malaysian Tigers bergantung kepada kemaskini kedudukan ranking Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Sebelum ini hanya empat pasukan yang dilihat berpotensi diundi menentang Malaysia dalam aksi kelayakan tersebut iaitu antara Jerman, New Zealand, Sepanyol atau Kanada.

“Saya rasa kedudukan ranking tidak akan mengalami banyak perubahan sebab Belgium memang sudah berada pada kedudukan ranking yang tinggi, manakala Sepanyol sudah naik.

“Cuma saya hanya risaukan England, tetapi ketika Siri Jelajah Eropah, baru-baru ini kita berjaya mengikat mereka di Sepanyol. Jadi, kita kena teliti semula perlawanan tempoh hari,” katanya.

Majlis undian dijangka dijalankan pada awal September dengan Malaysia hampir pasti diletakkan dalam balang tiga bersama-sama Ireland, Perancis dan Korea Selatan.

Berdasarkan format pertandingan, pasukan balang tiga akan diundi menentang salah satu pasukan balang dua yang kemungkinan besar terdiri daripada Jerman, New Zealand, Sepanyol dan Kanada.

Namun, wujud kemungkinan England jatuh ke balang tiga selepas Jerman meraih tempat keempat pada Kejuaraan Eropah yang dimenangi Belgium. - UTUSAN ONLINE