Undian akan dijalankan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil dan disiarkan secara ‘live streaming’ di Facebook FIH pada tengah hari waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FIH, sebanyak 14 pasukan lelaki dan 14 pasukan wanita terlibat dalam undian itu.

Aksi kelayakan hoki Sukan Olimpik akan menampilkan dua pasukan berentap dalam dua perlawanan berturut-turut dengan negara-negara diundi menentang satu sama lain berdasarkan ranking masing-masing selepas selesai Kejohanan Antara Benua 2018/2019 iaitu Piala Oceania (8 September).

Undian akan dijalankan dengan tiga pasukan ranking teratas diundi secara rawak beraksi di gelanggang sendiri menentang salah satu pasukan yang berada dalam ranking 12 hingga 14 sementara pasukan di rankingh keempat hingga ketujuh akan diundi untuk beraksi di venue sendiri menentang salah satu pasukan yang berada di ranking kelapan hingga ke-11.

FIH akan mengesahkan semua pasukan yang terlibat dalam undian itu serta kedudukan ranking terkini pada 8 September selepas penerbitan Ranking Dunia FIH selepas selesai Piala Oceania.

Sama ada Australia atau New Zealand akan layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai juara Piala Oceania, kumpulan “pasukan tuan rumah” akan dikurangkan daripada lapan kepada tujuh pasukan pada 8 September.

Pasukan berikut telah pun layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 selaku juara Kejohanan Antara Benua masing-masing: Argentina (Lelaki dan Wanita), Afrika Selatan (Lelaki dan Wanita), Belgium (Lelaki) dan Belanda (Wanita).

Mereka akan susuli oleh pemenang Piala Oceania - Lelaki dan Wanita - yang akan berlangsung di Rockhampton, Australia dari 5 hingga 8 September.

Jepun (Lelaki dan Wanita) menjuarai Kejohanan Antara Benua pada 2018 dan telahpun layak sebagai hos.

Perlawanan pusingan kelayakan hoki FIH dijadualkan dari 25 hingga 27 Oktober dan dari 1 hingga 3 November tetapi jadual sebenar perlawanan akan disahkan selepas undian pada 9 Sept.

Perlawanan akan dihoskan oleh dua pasukan bersaing yang berada dalam ranking tertinggi.

Dua belas pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita akan berentap untuk merebut pingat emas pada kejohanan hoki Olimpik 2020 dari 25 Julai hingga 7 Ogos tahun depan. - BERNAMA

Senarai pasukan yang layak ke pusingan kelayakan hoki Sukan Olimpik FIH berdasarkan kedudukan ranking terkini:

LELAKI

Pasukan tuan rumah - Australia, Belanda, India, Jerman, Great Britain, Sepanyol, New Zealand dan Kanada

Pasukan lawan - MALAYSIA, Perancis, Ireland, Korea, Pakistan, Austria, Mesir,

WANITA

Pasukan tuan rumah - Australia, Jerman, Great Britain, Sepanyol, New Zealand, Ireland, India dan China

Pasukan lawan - Korea Selatan, Belgium, Amerika Syarikat, Kanada, Itali, Chile dan Rusia.