Tonggak pertahanan negara, Muhammad Razie Abdul Rahim percaya latihan berkenaan membolehkan seseorang atlet berada dalam keadaan altitud berbeza sekali gus dapat membantu persiapan pasukan.

“Kita memang dah mula berlatih dalam Altitude Chamber, yang sangat membantu seperti berada di kawasan cuaca sejuk dan altitud berbeza. Tempoh latihan dalam Chamber berbeza mengikut pemain.

“Ada pemain yang pernah mengalami kecederaan, mempunyai tempoh latihan yang lebih di dalam ruangan itu. Ia kerana mereka berlatih di sana untuk dapatkan balik kecergasan selepas pulih daripada kecederaan sebelum memulakan latihan padang,” katanya.

Bilik Altitude and Environmental Chamber yang direka khas itu, berupaya mengawal karbon dioksida dan oksigen, selain boleh mengubah keadaan cuaca dan suhu serendah -25 darjah Celsius sehingga 55 darjah Celsius, manakala Cryotheraphy Lab atau lebih dikenali sebagai makmal ais pula digunakan untuk merawat kecederaan atlet dengan lebih cepat.

Skuad ‘Malaysian Tigers’ bakal diundi menentang satu daripada pasukan Jerman, Great Britain, Sepanyol, New Zealand atau Kanada pada undian yang akan diadakan di Lausanne, Switzerland pada Isnin depan.

Kecuali New Zealand, negara-negara lain akan mengalami musim sejuk, yang mana suhu di Kanada boleh mencecah sehingga lima darjah Celsius ketika pusingan kelayakan itu yang dijadualkan bermula akhir Oktober sehingga awal November.

Pakar pukulan sudut penalti berusia 32 tahun itu juga, yakin skuad negara dapat mengatasi mana-mana lawan, sekiranya semua ahli pasukan menunjukkan prestasi yang diinginkan oleh ketua jurulatih, Roelant Oltmans pada ujian terakhir untuk menamatkan kemarau 20 tahun ke Sukan Olimpik, selepas kali terakhir layak pada edisi 2000.

“Jurulatih Roelant dah kaji apa kelemahan dan kekurangan kita ketika Jelajah Eropah dan kejohanan ujian Tokyo 2020 di Jepun pada bulan lepas. Bagi saya, ketika di Eropah, kombinasi antara pemain memang baik.

“Saya tak kisah jumpa pasukan mana, selagi kami sebagai pasukan tahu apa yang kami perlu buat ketika perlawanan nanti. Saya tak risau mana-mana pasukan yang saya jumpa, saya lebih risau prestasi rakan sepasukan saya,” katanya. - BERNAMA