Biarpun kekalahan itu cukup besar buat anak-anak buah Roelant Oltmans, namun mereka menerima pengajaran yang amat bermanfaat sepanjang kempen di Eropah sebelum menghadapi kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 yang bermula Oktober ini.

Dalam tempoh tiga minggu itu, Malaysian Tigers melalui sembilan perlawanan, enam daripadanya adalah siri ujian dan tiga lagi Jemputan Empat Negara yang menyaksikan Malaysia muncul juara.

Menurut Oltmans, pasukan ranking No. 2 dunia, Belgium memberi pengajaran terbaik kepada skuad negara dalam dua siri perlawanan, termasuk ketika menumpaskan Malaysian Tigers 5-1 kelmarin.

“Pada separuh masa pertama, kami tidak bermain pada tahap terbaik tetapi memasuki separuh masa kedua, kami berjaya memperbaikinya dan beraksi dengan lebih baik selain mendapat beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan.

“Kami sudah menjangkakan, dua perlawanan ujian terakhir menentang Belgium akan menjadi aksi paling sukar buat pasukan dan nyata ia benar-benar berlaku.

“Bagaimanapun dalam masa sama, kami dapat melihat apa yang perlu kami lakukan serta perbaiki, malah kami mempunyai tempoh dua bulan setengah untuk melakukannya,” kata Oltmans yang dipetik dalam laman web Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Dalam enam aksi ujian yang dilalui Malaysian Tigers, ia berkesudahan dengan satu kemenangan ketika menewaskan Jerman 4-3 di Krefeld, Jerman, selain lima kekalahan bermula dengan tewas 0-1 kepada Sepanyol di Terassa, tewas 4-6 dan 2-4 kepada Belanda di Breda serta tewas 1-5 dan 0-8 kepada Belgium di Antwerp.

Sementara bagi Kejohanan Jemputan Empat Negara yang berlangsung di Terrassa, Sepanyol, skuad negara muncul juara selepas menewaskan Sepanyol 4-3, menundukkan Ireland 2-1 dan terikat seri 3-3 bersama England.

Malaysian Tigers dijangka tiba di Malaysia pada pukul 3 petang esok, sebelum berlepas ke Tokyo, Jepun pada Rabu bagi menghadapi Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 “The Ready Steady Tokyo Hockey Test Event” yang akan bermula 17 hingga 21 Ogos ini di Stadium Hoki Oi, Tokyo Jepun. - UTUSAN ONLINE