Itu pesanan ketua jurulatih hoki kebangsaan, Roelant Oltmans kepada anak-anak buahnya sejurus selepas Malaysian Tigers menerima undian paling mahu dielak iaitu menentang Great Britain dalam pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Great Britain pasukan yang amat bagus tetapi setiap pasukan ada kelemahan yang boleh kita manfaatkan, jadi kami perlu kaji dari sekarang.

Kami ada sebulan setengah untuk bersedia.

"Kami bermain dalam kejohanan Empat Negara di Sepanyol dan saya lihat mereka (England) beraksi pada Kejohanan Eropah, jadi kita ada banyak informasi untuk kajian dan menyediakan diri sebaik mungkin.

"Saya dan pemain percaya kepada peluang yang ada. Jika kita tidak percaya, lebih baik kami tak pergi sana, duduk di Malaysia sahaja," kata Oltmans.

Great Britain yang merupakan juara Sukan Olimpik tiga kali (1988, 1902, 1908) terdiri daripada gabungan tiga negara iaitu England (ranking No. 7 dunia), Wales (18) dan Scotland (19).

England, pasukan yang sering mengecewakan Malaysia dijangka membentuk sebahagian besar skuad Great Britain pada pusingan akhir kelayakan.

"Saya rasa England tidak akan membuat pertukaran besar, mungkin tiga pemain dari Scotland dan Wales dipanggil, termasuk Alan Forsyth (Scotland)," kata Oltmans lagi.

Malaysian Tigers akan berlepas ke Korea Selatan pada 19 September ini untuk beraksi dalam empat perlawanan ujian.

Mereka kemudian bertolak ke Eropah dua minggu lebih awal bagi mengadakan beberapa aksi pemanas badan menentang Perancis, Sepanyol, Jerman atau Belanda.

Great Britain akan melayani kunjungan Malaysia dalam dua aksi kelayakan Olimpik di London pada 1 dan 3 November. - UTUSAN ONLINE