Ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki negara, Muhamad Amin Rahim berkata pemilihan itu berdasarkan perancangan awal bersama ketua jurulatih hoki Roelant Oltmans untuk mendapatkan pemain yang pernah beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur, dua tahun lepas.

“Kita ada dua pemain yang pernah beraksi pada Sukan SEA yang lepas, manakala seorang lagi pemain pernah berlatih dengan skuad itu. Buat masa sekarang, kita ada tiga pemain daripada skuad hoki padang yang akan kita bawa masuk ke hoki dewan,” katanya kepada pemberita sewaktu sesi latihan di Stadium Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini, hari ini.

Muhamad Amin, yang juga penolong ketua jurulatih hoki negara menamakan tiga pemain itu adalah Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Amirol Aideed Mohd. Arshad, dan Luqman Nur Hakim Ahmad Shukran.

Katanya pemain ini akan dipanggil secepat mungkin selepas pengumuman rasmi berkenaan pertukaran program (penyingkiran pemain) dibuat supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan suasana hoki dalam dewan sebelum Sukan SEA tahun ini bermula beberapa bulan lagi.

Mengenai persiapan untuk Sukan SEA tahun ini, Muhamad Amin berkata skuad hoki dalam dewan negara yang menyertai Kejohanan Hoki Piala Asia Dalam Dewan 2019 di Chonburri, Thailand mempamerkan peningkatan positif berbanding pada Sukan SEA Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara perlu diperhalusi untuk menentang Indonesia dan Thailand pada temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung di Filipina pada Disember ini.

“Saya memang yakin dengan pasukan sebab saya percaya kita ada kekuatan dari segi pengetahuan hoki dan kelajuan,” katanya.

Untuk rekod, skuad hoki dalam dewan lelaki meraih pingat emas manakala pasukan wanita mendapat pingat gangsa di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Turut hadir menyaksikan latihan pasukan hoki dalam dewan hari ini adalah timbalan chef de mission II ke Sukan SEA 2019 Filipina Nurul Huda Abdullah.

Bekas ratu renang negara itu berkata, beliau yakin pasukan negara mampu menyumbangkan dua pingat emas bagi acara itu pada Sukan SEA kali ini, seperti yang disasarkan.

“Pengurus pasukan sangat positif mengenai persembahan skuad hoki dalam dewan. Malangnya untuk Sukan SEA kali ini, tidak ada acara hoki padang, jadi kita bergantung kepada hoki dalam dewan untuk memberi kemenangan kepada negara,” katanya. - BERNAMA