KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki negara perlu mencontohi semangat juang tinggi yang dipamerkan Pakistan apabila beraksi dalam saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada 15 hingga 21 Jun ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal berkata, meskipun Pakistan bukan pasukan yang dibarisi pemain bintang atau memiliki sumber kewangan besar, semangat dan komitmen mereka di pentas antarabangsa wajar dijadikan contoh.
“Pakistan adalah contoh terbaik. Mereka mungkin serba kekurangan, namun setiap kali turun beraksi, semangat juang mereka sangat tinggi.
“Inilah semangat yang saya mahu lihat dalam kalangan pemain kita, lebih-lebih lagi apabila kita menjadi tuan rumah. Jangan beri alasan pasukan lain lebih kuat. Sebaliknya, kita perlu jadi lebih baik daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis pengenalan jersi baharu skuad hoki wanita kebangsaan yang ditaja Mizuno serta pengumuman penyertaan pasukan itu ke Piala Negara-Negara di Bukit Jalil, semalam.
Mengulas lanjut, Subahan menegaskan pihak pengurusan telah memberikan yang terbaik kepada pemain, termasuk membawa kejohanan berprestij ke tanah air selain memastikan kebajikan pemain sentiasa terjaga.
“Sebagai pengurusan, kami sediakan pelbagai kemudahan dari aspek gaji walaupun tidak besar tetapi dibayar tepat waktu, hinggalah kepada pakaian dan keperluan lain.
“Namun di akhirnya, penyokong mahu lihat keputusan di atas padang, bukan sekadar keupayaan negara menganjurkan kejohanan antarabangsa,” katanya.
Subahan turut menggesa barisan pemain menunjukkan prestasi yang konsisten serta menghargai kepercayaan yang diberikan kepada mereka oleh jurulatih dan pengurusan pasukan.
“Jurulatih-jurulatih yang kita ambil semuanya berkaliber. Mereka telah beri yang terbaik, sekarang tiba giliran pemain membalas kepercayaan itu melalui prestasi,” tegasnya.
Dalam pada itu, Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim yakin dengan skuad kendaliannya meskipun berdepan kekangan dari segi pemain dan persediaan awal.
Menurut Nasihin, prestasi semasa pasukan menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani latihan intensif serta beberapa perlawanan persahabatan di China.
“Kalau lihat pada persembahan sekarang, pemain semakin serasi bermain bersama selepas kita bermain di Afrika Selatan. Selepas itu, kita terus bermain di China dan mereka mula dapat keserasian sebagai satu pasukan,” katanya.- UTUSAN