Shaaban berkata, tragedi yang menimpa dirinya pada saat dia mencapai kemuncak dalam kerjayanya itu pernah membuatkan dia terfikir untuk mengambil tindakan yang tidak masuk akal termasuk menamatkan nyawa sendiri.

Beliau yang menjadi tetamu Mornink Blues yang disiarkan secara langsung di Facebook Utusan Online pagi tadi berkata, dia pada awalnya tidak boleh menerima nasib malang yang menimpa dirinya tambahan beliau dijadual bertanding di Sukan Olimpik Rio, Brazil.

Namun sokongan daripada pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuatkan beliau bangkit untuk meneruskan hidup.

"Yang beri keyakinan untuk teruskan hidup termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang datang melawat ke hospital. Orang besar bagi semangat untuk hidup takkan kita tak boleh bangkit.

"Saya cakap, saya sudah buat yang terbaik. Bertanding dengan Tiger Wood. Saya surah rasa hebat. Mungkin Tuhan cakap tak, tak hebat lagi. Aku bagi lagi hebat. Tapi kau kena telan sikit. Memang perit. Tapi bila kau dah telan dan lepas peritnya besar kelebihannya untuk kau," cerita juara Kejohanan PGM Sime Darby Harvard 2016 itu.

Sebelum bergelar pemain profesional, Shaaban merupakan pemain amatur yang berada di ranking pertama Malaysia pada 2001 dan 2002.

Jenama Shaaban Hussin menggunakan logo gabungan huruf SH dan jika diterbalik ke bawah bertukar menjadi huruf DTP (Develop Tournament Player) yang mengambarkan jatuh bangun seorang juara.

Peratan sukan golf SH telah berada di pasaran sejak tiga bulan lalu yang boleh dibeli secara dalam talian dan juga di kedai golf di Cyberjaya, Kelang dan Sungai Buloh.

Selain peralatan sukan, bekas kedi selama tiga tahun termasuk Almarhum Sultanah Bahiyah itu juga mempunyai Program Latihan Intensif Shaaban Hussin.

Program itu khusus untuk mencari, melatih dan mengasah bakat muda di bangku sekolah terutama golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.

Saaban berhasrat agar pemain pelapis yang dipimpinnya akan memenangi pingat emas dalam acara golf di Sukan SEA kerana kali terakhir pingat tersebut dimenangai oleh beliau pada tahun 2001. -UTUSAN ONLINE