Bertemankan kira-kira 5,000 penyokong setia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Hibiscus jelas lebih bersemangat sehingga mampu mengecilkan jurang mata berbanding ketika dibenam lawan 52-14 di Incheon.

“Saya bangga dengan semangat juang rakan sepasukan dan pengurusan. Aksi kami lebih baik dari minggu lalu. Terima kasih sokongan penonton, merekalah punca kami bekerja lebih keras sehingga 80 minit permainan.

“Cuma ada strategi dan umpanan yang tidak menjadi dan tersasar kerana kesilapan kecil dan disiplin kami,” kata kapten Hibiscus, K. Dinesvaran atau lebih dikenali sebagai Dugro selepas perlawanan.

Penyumbang mata Malaysia ialah Mohd. Fairuz Ab. Rahman yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-25, 36 dan 52 serta conversion, 31 selain satu try daripada Amirul Mukminim Amizan (30),

Namun kekalahan ini mendekatkan anak-anak buah Bradley Moni Mika ke ambang penyingkiran ke Divisyen Satu ARC, tahun depan kerana menanti mereka selepas ini ialah Hong Kong yang berada di ranking dunia dan Asia lebih baik daripada Korea.

Juara bertahan Divisyen Perdana yang hanya akan mula beraksi 8 Jun ini di Incheon, akan menanti Hibiscus di Kelab Bola Sepak Hong Kong pada 15 Jun ini sebelum bertandang ke Bukit Jalil, seminggu kemudian.

“Setiap perlawanan kami hadapi satu persatu dan disasarkan kemenangan malah dianggap macam perlawanan akhir, bukan sekadar untuk kurangkan mata.

“Mungkin Hong Kong memperkecilkan kemampuan kami selepas dua kekalahan ini dan saya rasa itulah kesempatan yang perlu kami ambil,” kata anak jati Sungai Petani, Kedah yang bermain dengan kelab liga Jepun, Hino Red Dolphins. - UTUSAN ONLINE