Hibiscus juga wajar mengawasi gerak-geri pemain berjersi nombor 14 lawan, Jeong Yeon-sik yang begitu berbahaya jika mendapat bola dan banyak mempengaruhi momentum permainan seperti mana aksi sulung di Incheon, 18 Mei lalu.

“Pasukan kita kena bekerjasama dan lebih berikan perhatiankepada No. 14 Korea. Jika dapat bola daripada pasukannya, momentum serangan Korea akan meletus,” kata kapten Malaysia, K. Dinesvaran yang juga dikenali sebagai Dugro.

Dugro ditemukan dalam sidang akhbar di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil hari ini sambil ditemani ketua jurulatih negara dari New Zealand, Bradley Moni Mika dan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Malaysia yang tewas 52-14 di Incheon, bakal menanti pelawat di Stadium Nasional, Bukilt Jalil dengan misi menyambar satu kemenangan sekali gus cuba kekal dalam Divisyen Perdana 2020 yang turut disertai juara bertahan, Hong Kong.

Aksi di Incheon juga menurut Dinesvaran, menunjukkan Korea Selatan mampu panik atau tertekan sekiranya Hibiscus memecahbelahkan pasukan lawan dengan pergerakan bola ke kiri dan kanan.

“Kesilapan kami minggu lalu ialah salah membaca permainan lawan dan kerap melepaskan bola kepada mereka. Namun menerusi semakan video, kesilapan itu bukanlah sukar untuk diubah dan kita ada harapan untuk menang. Corak permainan kita pun kena ubah.

“Ada dua pemain kita yang tercedera daripada perlawanan itu tetapi bukanlah bertahap serius, Sakiusa Terence Gavidi dan Seru Pepeli Naqasima (import Fiji) masing-masing pada buku lali dan bahu,” katanya.

Sementara itu, Shahrul Zaman berkata, memang menjadi satu cabaran buat KRM dalam menarik kehadiran ramai penonton ke stadium dalam bulan Ramadan seperti mana yang berlaku pada saingan bola sepak Liga Super dan Perdana.

“Bola sepak Liga Malaysia pun kurang kehadiran penontonnya namun kami masih mempergiatkan promosi dan saya yakin seperti trend ARC di Bukit Jalil tahun lalu, masih ramai peminat yang akan hadir menonton dan menyokong pasukan ragbi negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE