ABDUL HALIM KADER

Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, arahan itu dikeluarkan, semalam kerana gelanggang itu tidak pernah diluluskan oleh Istaf terlebih dulu sekali gus menyalahi dan melanggar undang-undang permainan rasmi sepak takraw secara serius.

Liga berkenaan yang bermula di sebuah stadium di ibu negara, Jumaat lalu disertai pasukan-pasukan yang diberikan gelaran khas mengikut identiti atau maskot negeri-negeri, selain mereka dibenarkan mengimport pemain Thailand antaranya.

Liga itu dikatakan menggunakan gelanggang berwarna hitam di dalam dan kuning di kelilingnya yang ditaja sebuah jenama peralatan badminton dari sebuah negara Asia.

Istaf kata Halim, perlu mengambil tindakan drastik kerana khuatir dengan sebarang kecederaan yang mungkin menimpa pemain tempatan atau luar negara di atas gelanggang yang tidak diluluskan sehingga membawa akibat buruk dan tuntutan undang-undang terhadap PSM, ahli gabungannya.

Beliau yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) memberitahu, arahan itu disampaikan dalam sepucuk surat yang bertarikh 10 September 2019 (semalam) kepada Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Mohd. Salleh.

“PSM sebagai ahli gabungan terkemuka malah perintis Istaf perlu tahu, penggunaan peralatan (gelanggang) sepak takraw yang tidak diluluskan Istaf bagi pertandingan, tempatan atau sebaliknya, merupakan satu kesalahan dan pelanggaran serius terhadap undang-undang dan peraturan Istaf.

“Memandangkan ada pemain luar negara yang menyertai liga itu dan mengambil kira keseriusan situasi ini yang mampu melibatkan Istaf, PSM perlu menghentikan penggunaan gelanggang itu dengan serta-merta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Halim menegaskan, Istaf yakin PSM akan mengambil langkah pembetulan yang diperuntukkan bagi mengekalkan piawaian (peralatan sepak takraw) yang ditegakkan oleh Istaf.

Setakat ini, hanya gelanggang sepak takraw berwarna merah yang dianggap sah mematuhi piawaian peralatan Istaf seperti mana pernah digunakan dalam Piala Dunia Istaf, Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand, Sukan SEA mahupun Sukan Asia. - UTUSAN ONLINE