Katanya, beliau telah membuat pertemuan dengan Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali bagi membincangkan masa depan pelumba berusia 25 tahun itu.

“Hafizh merupakan ikon permotoran negara, salah seorang anak muda yg berwibawa, berbakat. Sekarang kita ada beberapa cadangan yang diketengahkan.

“Jadi sekarang, Razlan ada tanggung jawab yang sangat besar untuk memperhalusi cadangan tersebut bersama pihak Hafizh. Saya rasa dalam tempoh dua hingga tiga minggu lagi akan menemui jalan penyelesaian terbaik.

“Bagaimanapun keutamaan saya adalah bagi memastikan bakat sukan permotoran akan dikekalkan pada masa akan datang, dengan mewakili Malaysia dan mengibarkan Jalur Gemilang bersama pasukan sendiri.

“Akan tetapi perkara tersebut kita perlu berbincang dan berdialog bersama semua pihak,” kata selepas melancarkan kejohanan ‘The Great Malaysia Marathon’ di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.

Masa depan Hafizh Syahrin sebelum ini menjadi tanda tanya apabila pasukannya, Red Bull KTM Tech 3, mengikat kontrak dengan pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder untuk menggantikan pelumba kelahiran Selangor itu.

Bagaimanapun, terdapat khabar angin mengatakan Hafizh bakal menyertai pasukan MotoGP, Petronas Yamaha SRT, namun Prinsipalnya, Razlan menafikannya memandangkan kontrak dua pelumba mereka, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo diikat sehingga 2020. - UTUSAN ONLINE