Bakal dicabar juara bertahan, Brooks Koepka, Woods, 43, yang sedang memburu kejuaraan ke-16 kejohanan utama dunia di Lapangan Golf Bethpage Black di sini dijangka bakal turut dicabar juara Terbuka British, Francesco Molinari.

Koepka yang menewaskan Woods dalam laluan sebelum menjuarai Kejohanan PGA tahun lalu antara yang paling berdebar kali ini terutama selepas menyaksikan Woods menamatkan kemarau kejuaraan 11 tahun kejohanan utama di Kejohanan Masters tempoh hari.

“Saya memang begitu menanti dapat bermain dengannya lagi. Memang kami jarang dapat berpasangan bersama terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Jadi sudah tentu ia satu saingan yang menarik,” katanya tentang Woods.

Woods pula menjanjikan satu persaingan yang menyeronokkan akan berlaku terutama buat penonton dan peminat golf yang menyaksikan kejohanan kali ini.

“Minggu yang pasti menyeronokkan buat peminat golf dan pemain yang ada di sini. Pemain yang akan berpasangan dengan saya juga sudah tentu akan menikmati pertandingan kali ini dengan gembira,” kata Woods.

Jika berjaya menjuarai Kejohanan PGA ini, Woods akan menyamai pencapaian Sam Snead yang menjuarai Jelajah PGA Amerika Syarikat sebanyak 82 kali selain menghampiri rekod pencapaian Jack Nicklaus yang pernah merangkul 18 kejuaraan kejohanan utama dunia. - AFP